Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Dua rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand kerana kes berkaitan dadah turut mempunyai rekod kesalahan narkotik di negara ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod berkaitan dadah termasuk kes ketum di negeri ini.
Menurutnya, terdapat dua individu yang mempunyai rekod narkotik, termasuk seorang yang berusia 30-an dikehendaki pihak berkuasa.
“Daripada dua orang itu, seorang mempunyai rekod di bawah Seksyen 39B, seorang lagi Seksyen 39A, selain terdapat kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya,” katanya pada sidang media di Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Kelantan, di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, dua rakyat Malaysia ditahan polis Thailand di Sungai Kolok di sini pada Khamis malam, selepas pihak berkuasa menemukan 1,560 biji pil Epam (Nitrazepam) yang dipercayai dalam milikan mereka.
IMedikel TV






