Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang membeli lebih 190,974 kilogram (kg) durian kampung dan klon pada musim kedua ‘Raja buah’ itu, bulan lalu.
Kos belian hasil kebun milik 85 petani tempatan di Jerantut, Bentong dan Raub lebih RM988,727 dengan nilai jualan mencecah RM1.3 juta.
Pengarah FAMA Pahang, Rashiha Mamat, berkata pihaknya lebih aktif membuat belian durian pada musim kedua berbanding musim pertama awal tahun ini kerana pengeluaran buah yang begitu banyak.
“Pengeluaran durian kampung dan klon diluar jangkaan hingga memaksa FAMA membuat belian dengan tawaran harga lantai RM2.70 sekilogram, usaha berkenaan perlu dilakukan bagi memastikan tidak berlaku lambakan buah seterusnya menyebabkan pekebun menanggung kerugian, “di sini hari ini.
Katanya, daerah Jerantut mencatat pengeluaran durian yang tertinggi diikuti Bentong dan Raub. Pengeluaran durian kampung lebih tinggi berbanding durian klon hingga menyebabkan harga ladang dan jualan runcit jatuh agak ketara.
“Kita bertindak mengadakan pelbagai program jualan durian setiap minggu dalam usaha memasarkan ‘raja buah’ itu, selain kempen makan durian di pasar tani turut diadakan jualan tempahan dan borong dibeberapa lokasi.
“Pada satu ketika pusat pemprosesan FAMA Jerantut menerima 10 hingga 15 tan durian kampung dan klon sehari yang dibekalkan oleh lebih 50 pekebun daripada beberapa kawasan seperti Kampung Ulu Cheka, Kampung Damak dan Kampung Perlok,” katanya.
Rashiha berkata, ketika kemuncak pengeluaran durian pihaknya memproses tiga hingga lima tan durian sehari bagi menghasilkan 300 hingga 500 kilogram (kg) pes di pusat pemprosesan FAMA Jerantut.
Katanya, jumlah berkenaan meletakkan pusat terbabit sebagai pengeluar pes termasuk tempoyak yang terbesar di negara ini untuk pasaran tempatan dan luar Pahang.
“Pusat Pemprosesan FAMA Jerantut menghasilkan lebih 100 tan pes dan tempoyak, produk hiliran itu dijual dengan harga antara RM25 hingga RM35 sekilogram. Permintaan terhadap produk itu amat menggalakkan.
“Saya berpuas hati dengan kejayaan FAMA Pahang mengawal pengeluaran durian bagi mengelak berlaku lambakan dengan aktiviti jualan dan kempen makan durian termasuk menghasilkan pes dan tempoyak,” katanya.
IMedikel TV






