Home Sukan DEPAY YAKIN SEMPAT PULIH, ENGGAN TERLEPAS PIALA DUNIA

DEPAY YAKIN SEMPAT PULIH, ENGGAN TERLEPAS PIALA DUNIA

AMSTERDAM: Penyerang berpengalaman Belanda, Memphis Depay mengakui dia tidak pernah meragui peluangnya untuk disenaraikan dalam skuad Piala Dunia walaupun berdepan kebimbangan mengenai tahap kecergasannya selepas pulih daripada kecederaan paha.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, penjaring terbanyak sepanjang zaman Belanda dengan 55 gol itu kembali beraksi minggu lalu bersama kelab Brazil, Corinthians selepas diketepikan sejak Mac lalu akibat kecederaan.

“Saya sendiri lebih suka bercakap mengenai perkara lain,” katanya kepada media ketika kem latihan Belanda di Zeist.

“Saya faham mengapa soalan ini ditanya, tetapi secara peribadi saya tidak pernah meragui bahawa saya akan berada dalam skuad. Proses pemulihan saya memang mengambil masa lebih lama daripada yang sepatutnya.

“Ada beberapa perkara yang tidak berjalan seperti dirancang, namun saya sentiasa yakin semuanya akan pulih. Kecederaan itu sebenarnya tidak terlalu serius,” katanya.

Media Brazil sebelum ini melaporkan terdapat kesilapan dalam program pemulihan pemain berusia 32 tahun itu yang menyebabkan proses penyembuhannya terganggu, namun Depay enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

Sebaliknya, pemain yang sudah mengumpul 108 penampilan bersama skuad Oranje itu menegaskan dia kini berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan.

“Saya tiba di sini dalam keadaan cergas dan tanpa sebarang masalah. Itu petanda yang baik buat saya.

“Saya bekerja keras setiap hari. Di Brazil, kami kadangkala menjalani latihan sehingga dua jam di padang, sesuatu yang berbeza berbanding ketika saya beraksi di Eropah. Jadi saya datang ke sini dalam keadaan cukup bersedia,” katanya.

Sejak kembali daripada kecederaan, Depay beraksi selama 29 minit sebagai pemain gantian dan 45 minit sebagai kesebelasan utama dalam dua perlawanan bersama Corinthians.

Dia kini berharap dapat meningkatkan lagi kecergasan perlawanan menerusi dua aksi pemanas badan Belanda menentang Algeria di Rotterdam pada Rabu dan Uzbekistan di New York Isnin depan.

“Masih ada dua perlawanan untuk saya dan kami juga menjalani banyak sesi latihan. Itu memberi peluang kepada saya untuk menunjukkan kepada jurulatih tahap kecergasan sebenar saya,” katanya.

Mengulas peluang Belanda pada Piala Dunia, Depay mengakui pasukannya bukan pilihan utama untuk menjulang trofi, namun percaya mana-mana pasukan tetap berhati-hati apabila berdepan skuad Oranje.

“Kami tidak perlu berpura-pura menjadi pasukan terbaik dunia, tetapi kami tahu kekuatan yang kami ada dan sentiasa mampu memberi saingan. Keyakinan sentiasa ada setiap kali kami beraksi di kejohanan besar.

“Saya sudah bermain dalam dua Piala Dunia dan malangnya tewas menerusi penentuan penalti sebanyak dua kali menentang Argentina pada 2014 dan 2022. Mungkin kali ini nasib akan memihak kepada kami,” katanya. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here