KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengakui prestasi beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menurun pada saingan Terbuka Singapura sekali gus gagal dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
Memetik laporan Berita Harian, pasangan nombor dua dunia itu tersingkir di suku akhir selepas tewas 15-21, 15-21 kepada beregu China yang berada di ranking kelima dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang di Stadium Tertutup Singapura, semalam.
Herry berkata, Aaron-Wooi Yik gagal menandingi kepantasan dan kekuatan fizikal lawan selain melakukan terlalu banyak kesilapan sepanjang perlawanan.
“Ya, untuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik memang agak sedikit menurun prestasinya khusus di Singapura ini. Saya lihat mereka kalah dari segi kelajuan dan kekuatan kepada pemain China.
“Tetapi pemain China memang bermain dengan baik. Aaron dan Wooi Yik pula banyak melakukan kesilapan dan dari segi kelajuan serta kekuatan memang kalah.
“Mereka memang berada di bawah prestasi sebenar ketika menentang pasangan China itu,” katanya kepada BH Sukan.
Kekalahan itu menyaksikan hasrat Aaron-Wooi Yik mempertahankan gelaran Terbuka Singapura tidak kesampaian sekali gus meneruskan penantian mereka untuk meraih kejuaraan pertama musim ini.
Pencapaian terbaik pasangan negara itu musim ini adalah muncul naib juara Terbuka Malaysia dan Seluruh England.
Mengulas persiapan menghadapi Terbuka Indonesia yang bermula Selasa ini, Herry yang mendapat julukan Naga Api berharap anak buahnya mampu kembali mempamerkan prestasi sebenar dan bangkit memburu gelaran.
“Semoga Aaron-Wooi Yik dapat mempamerkan prestasi lebih baik pada Terbuka Indonesia nanti,” katanya.
Saingan di Jakarta turut memberi peluang kepada Aaron-Wooi Yik menamatkan penantian menjulang gelaran pertama dalam kejohanan bertaraf Super 1000.
Sejak 2019, bekas juara dunia itu sudah lapan kali melangkah ke final kejohanan Super 1000, namun masih belum berjaya menukar penampilan di pentas akhir itu kepada gelaran juara.
Pada Terbuka Indonesia, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan akan memulakan kempen menentang rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King pada pusingan pertama di Istora Senayan, Jakarta.- BH Online –
IMedikel TV






