Home Luar Negara IRAN ATAU OMAN TIDAK AKAN KAWAL SELAT HORMUZ – TRUMP

IRAN ATAU OMAN TIDAK AKAN KAWAL SELAT HORMUZ – TRUMP

29
0

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menegaskan Iran dan Oman tidak akan menguruskan perkapalan di Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk menamatkan perang.

Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian enafian itu sekali gus memberi gambaran bahawa rundingan antara kedua-dua pihak masih menemui jalan buntu, walaupun difahamkan ada deraf rundingan damai yang sedang dipertimbangkan.

Trump berkata, tiada mana-mana negara akan menguasai laluan perairan strategik itu dan menegaskan Selat Hormuz kekal sebagai perairan antarabangsa.

“Tiada siapa akan mengawal selat itu. Ia perairan antarabangsa dan Oman akan bertindak seperti negara lain atau kita mungkin terpaksa meletupkan mereka.

“Mereka faham perkara itu, semuanya akan baik,” katanya pada mesyuarat Kabinet yang turut dihadiri wartawan, hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas televisyen kerajaan Iran melaporkan pihaknya memperoleh deraf tidak rasmi perjanjian yang mencadangkan Iran dan Oman menguruskan trafik perkapalan secara bersama bagi memulihkan aktiviti perdagangan melalui Selat Hormuz ke tahap sebelum perang dalam sebulan.

Deraf itu turut dilaporkan mengandungi cadangan supaya AS menarik balik sekatan terhadap pelabuhan Iran serta mengundurkan pasukan tenteranya dari kawasan berhampiran negara itu.

Bagaimanapun, Rumah Putih dan Kedutaan Oman di Washington belum memberikan maklum balas terhadap permintaan mengulas perkara berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Keselamatan Negara Parlimen Iran, Ebrahim Azizi, menegaskan kenyataan keras Trump tidak akan mengubah pendirian Tehran.

Beliau berkata, Iran tetap berpegang kepada tuntutan untuk meneruskan program pengayaan uranium, mempunyai kuasa ke atas Selat Hormuz serta melihat sekatan antarabangsa terhadap negara itu ditarik balik.

“Jelas Trump sedang mencari jalan keluar daripada kebuntuan strategik ini dengan bertukar antara ancaman dan rayuan untuk mencapai persetujuan,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Kenyataan bercanggah daripada kedua-dua pihak itu menunjukkan jurang rundingan masih besar walaupun Rumah Putih sejak beberapa hari lalu memberi bayangan bahawa perjanjian awal untuk menamatkan konflik mungkin hampir dicapai.

Trump turut menegaskan AS akan terus memantau laluan perairan berkenaan, namun tidak akan membenarkan mana-mana pihak menguasainya.

“Kita akan memantaunya, tetapi tiada siapa akan mengawalnya. Itu sebahagian daripada rundingan yang sedang berjalan,” katanya.

Kapal tentera laut AS, termasuk yang membawa ribuan anggota tentera laut dan Marin, kerap melalui kawasan berkenaan serta singgah di beberapa pelabuhan termasuk di Oman. Pentagon bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Konflik itu juga dilihat memberi tekanan politik kepada Trump apabila beberapa tinjauan pendapat menunjukkan perang berkenaan semakin tidak popular dalam kalangan rakyat AS, kurang enam bulan sebelum pilihan raya pertengahan penggal yang bakal menentukan penguasaan Parti Republikan di Senat dan Dewan Perwakilan. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here