GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan pada Rabu bahawa tiada kematian baharu akibat wabak Hantavirus yang dikaitkan dengan kapal persiaran dilaporkan sejak 2 Mei lalu, manakala risiko kesihatan awam global kekal rendah.
Memetik laporan Bernama-Anadolu menerusi Harian Metro, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata menerusi hantaran di platform X bahawa sebanyak 11 kes dilaporkan kepada agensi itu setakat 12 Mei, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut Tedros, lapan daripada kes berkenaan disahkan melalui ujian makmal sebagai jangkitan disebabkan virus Andes.
Strain yang menyebabkan wabak kali ini iaitu virus Andes juga boleh merebak antara manusia melalui kontak rapat secara berpanjangan, khususnya dalam ruang tertutup.
Beliau berkata, satu lagi kes masih menjalani ujian makmal lanjut.
“WHO terus menilai risiko kepada populasi global sebagai rendah,” kata Tedros.
Agensi berkenaan terus berhubung rapat dengan pakar dari semua negara terbabit serta menerima laporan kesihatan mingguan berkaitan penumpang dan kru menerusi saluran rasmi Peraturan Kesihatan Antarabangsa.
Menurut Tedros, usaha penyelarasan antarabangsa masih diteruskan bagi menyokong langkah melindungi kesihatan awam.-Bernama-Anadolu, HMetro Online-
IMedikel TV






