Home Sukan SLOT MULA GOYAH DI ANFIELD

SLOT MULA GOYAH DI ANFIELD

29
0

LONDON: Pengendali Liverpool, Arne Slot kini berada dalam tekanan hebat apabila memerlukan kemenangan ke atas Aston Villa pagi Sabtu ini bagi memastikan peluang pasukannya layak ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan terus terpelihara.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, The Reds mensia-siakan peluang menghampiri kelompok lima terbaik selepas sekadar seri 1-1 dengan Chelsea di Anfield, Sabtu lalu.

Keputusan hambar itu bukan saja menjejaskan peluang Liverpool ke UCL musim depan malah menambah tekanan terhadap Slot selepas pasukan itu sudah mengalami 11 kekalahan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Sorakan boo daripada penyokong turut bergema di Anfield sebaik wisel penamat dibunyikan sebagai tanda kemarahan terhadap prestasi pasukan.

Walaupun Slot masih dipercayai mendapat sokongan pengurusan Liverpool ketika ini, bekas penyerang EPL, Tony Cascarino mencadangkan pengendali AFC Bournemouth, Andoni Iraola sebagai calon berpotensi menggantikan Slot jika jurulatih Belanda itu dipecat musim panas ini.

Iraola, 43, dijangka meninggalkan Bournemouth hujung musim ini selepas berjaya meletakkan pasukan itu dalam kedudukan baik untuk layak ke saingan Eropah.

Menurut laporan, peluang Slot menjadi pengurus EPL seterusnya dipecat meningkat mendadak daripada 50/1 kepada 11/8 dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

“Sorakan boo semakin kerap berlaku di Liverpool sekarang. Saya mahu Slot kekal hingga hujung musim sebelum Liverpool membuat keputusan. Saya bimbang kerana situasi ini tidak bagus.

“Mungkin Iraola sudah menerima tawaran lebih baik. Sama seperti pemain, apabila anda menyerlah di Bournemouth seperti Antoine Semenyo dan pemain lain, kelab besar akan datang mendapatkan anda. Saya yakin dia tahu ke mana hala tujunya,” kata Cascarino.

Cascarino turut mengaitkan hubungan rapat Iraola dengan pengarah sukan Liverpool, Richard Hughes yang sebelum ini membawanya ke Bournemouth.

“Richard Hughes yang membawanya ke Bournemouth dan kini dia berada di Liverpool. Dialah yang menguruskan rundingan itu. Dalam bola sepak, hubungan seperti ini sangat penting,” katanya.

Cascarino turut menyebut beberapa nama pengurus lain seperti Marco Silva di Fulham dan Oliver Glasner di Crystal Palace sebagai pengendali yang mungkin sudah mengetahui destinasi masa depan mereka.

Dia turut membandingkan situasi itu dengan pengumuman pemergian Jurgen Klopp dari Liverpool yang disimpan rapi selama beberapa bulan sebelum diumumkan kepada umum.-Agensi, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here