BAMAKO, MALI: Kembar sembilan Mali kini sudah berusia lima tahun, lapor Rekod Dunia Guinnes (GWR).
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, adik-beradik lelaki Mohammed VI, Elhadji, Oumar dan Bah serta adik-beradik perempuan Kadidia, Fatouma, Hawa, Adama dan Oumou memegang rekod dunia bagi bilangan anak terbanyak yang dilahirkan dalam satu kelahiran selamat, kini sihat termasuk bersiap-sedia untuk memulakan persekolahan.
Difahamkan, mereka akan menyambut hari itu secara sederhana di rumah bersama ibu bapa Halima Cisse dan Abdelkader Arby serta kakak mereka Arby yang berusia tujuh tahun.
Gambar terbaharu yang dikongsi oleh ibu bapa mereka menunjukkan mereka membesar dengan sihat.
Dalam gambar berkenaan, mereka dilihat bergambar bersama atau dalam kumpulan lelaki dan perempuan dengan pakaian sedondon serta mempamerkan personaliti masing-masing.
Dalam beberapa gambar, Halima kelihatan duduk dengan bangga sambil memegang sijil GWR keluarga mereka.
Halima berkata, anak-anaknya berada dalam keadaan sangat baik, sihat, aktif dan penuh kegembiraan serta sangat bersyukur atas perkembangan mereka.
Dia berkata, mereka akan memulakan persekolahan tidak lama lagi dan keluarganya kini memberi tumpuan kepada pendidikan sambil memastikan mereka menikmati zaman kanak-kanak.
“Anak-anak sangat baik antara satu sama lain dan dengan kakak mereka. Mereka mempunyai ikatan yang kuat dan menghabiskan sebahagian besar masa bermain bersama.
“Setiap kanak-kanak mempunyai personaliti yang unik. Ada yang lebih bertenaga dan ekspresif, manakala yang lain lebih tenang dan pemerhati. Ia sangat mengagumkan melihat betapa berbezanya mereka, namun masih kekal saling berhubung,” katanya.
Halima susulan itu, menzahirkan rasa bangga mewakili Mali dan Afrika serta berterima kasih atas sokongan dunia.
Kembar sembilan itu dilahirkan pada 4 Mei 2021 di Maghribi dan menghabiskan 19 bulan di sana sebelum pulang ke rumah.
Pada awalnya, doktor menyangka Halima hamil tujuh bayi namun kemudian disahkan sembilan bayi selepas menerima rawatan di klinik pakar di Maghribi, dengan kelahiran secara pembedahan Caesarean pada usia kandungan 30 minggu. Setiap bayi seberat antara 0.5 hingga 1 kilogram (kg).-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






