Home Luar Negara AS NAIKKAN TARIF KERETA, TRAK EU KEPADA 25 PERATUS

AS NAIKKAN TARIF KERETA, TRAK EU KEPADA 25 PERATUS

17
0


WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata, pentadbirannya akan menaikkan tarif ke atas kereta dan trak dari Kesatuan Eropah (EU) kepada 25 peratus minggu depan, dengan mendakwa blok serantau itu tidak mematuhi perjanjian perdagangan dua hala dengan AS, lapor Agensi Berita Yonhap.

Memetik laporan BERNAMA-YONHAP menerusi Harian Metro, Trump membuat pengumuman itu menerusi hantaran di media sosial, sambil mengulangi bahawa jika negara menghasilkan kenderaan di AS, tiada tarif akan dikenakan.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa, berdasarkan fakta Kesatuan Eropah tidak mematuhi perjanjian perdagangan yang dipersetujui sepenuhnya dengan kita, minggu depan saya akan menaikkan tarif yang dikenakan ke atas Kesatuan Eropah bagi kereta dan trak yang masuk ke AS,” tulisnya di Truth Social.

“Tarif itu akan dinaikkan kepada 25 peratus.”

Di bawah perjanjian perdagangan tahun lalu, pentadbiran Trump mengurangkan tarif ke atas kenderaan EU kepada 15 peratus.

Sebelum itu, kereta EU tertakluk kepada kadar keseluruhan 27.5 peratus, yang terdiri daripada tarif khusus sektor sebanyak 25 peratus serta levi sedia ada sebanyak 2.5 peratus.

Dalam sesi taklimat media kemudian, Trump menyatakan kenaikan tarif itu bertujuan memberi tekanan kepada EU supaya mempercepat usaha memindahkan pengeluaran automotif syarikat mereka ke AS.

“Ia memaksa mereka memindahkan pengeluaran kilang dengan lebih cepat,” katanya mengenai kenaikan tarif itu.

Beliau turut berkata, ketika ini, terdapat lebih AS$100 bilion (kira-kira RM397 bilion) nilai pembinaan loji automotif sedang dilaksanakan di AS.

“Ia satu rekod. Kita tidak pernah melihat perkara seperti ini … dari semua negara: Jepun, Korea Selatan … Kanada, Mexico. Mereka semua membina loji di Amerika Syarikat,” katanya.

“Tetapi Kesatuan Eropah tidak mematuhi perjanjian yang kita capai.”

Pengumuman kenaikan tarif itu dibuat ketika Trump mengkritik anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana tidak memenuhi gesaannya supaya memberikan bantuan tentera laut bagi mengawal keselamatan laluan penting Selat Hormuz, seperti menghantar kapal perang untuk mengiringi kapal dagang melalui perairan itu.-BERNAMA-YONHAP, HMetro Online-

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here