MADRID: Atletico Madrid dan Diego Simeone sering merasai pahitnya kekecewaan, walaupun berada dalam era kegemilangan kelab itu.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, mereka akan menjadi tuan rumah kepada Arsenal, awal pagi Khamis ini dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara, untuk mencari penawar duka selepas kekalahan memeritkan di final Copa del Rey lebih seminggu lalu.
Puluhan ribu penyokong Atletico sudah mengembara ke Seville, namun pulang dengan tangan kosong, sama seperti yang berlaku dalam final Liga Juara-Juara 2014 dan 2016 menentang musuh tradisi, Real Madrid.
Atletico masih belum pernah menjuarai kejohanan elit Eropah itu, selain turut tewas dalam final 1974.
Mereka kini berpeluang melangkah ke final keempat jika berjaya menewaskan skuad Mikel Arteta, dalam musim yang turut menyaksikan kelab itu meraikan ulang tahun ke-123.
Dalam perlawanan pertama di laman sendiri selepas kekecewaan final Copa del Rey menentang Athletic Bilbao pada Sabtu lalu, penyokong Atletico memberikan sambutan dingin kepada pasukan.
“Penyokong tidak perlukan mesej (daripada saya), apa yang mereka perlukan ialah kemenangan,” kata Simeone, pengurus paling berjaya dalam sejarah Atletico, di Seville.
Penyerang utama, Julian Alvarez pula menegaskan pasukan itu perlu segera bangkit.
“Kami perlu bangkit daripada tamparan itu dan memberikan segala-galanya untuk ke final,” katanya.
Aksi menentang Arsenal dijangka menjadi ujian besar dengan Stadium Metropolitano sekali lagi diharapkan menjadi kubu kebangkitan Atletico.
Walaupun sudah tidak beraksi di Vicente Calderon, Metropolitano kini menjadi medan yang lebih lantang dengan kapasiti lebih besar.
Simeone menegaskan kekuatan Atletico dibina melalui kerja keras dan sokongan penyokong.
“Kami sampai ke tahap ini dengan cara kami bersaing, tiada apa yang menyekat kami setakat ini,” katanya.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






