LONDON: Bekas pemandu Formula Satu (F1), Johnny Herbert mengingatkan Lewis Hamilton supaya bersikap jujur dengan dirinya sendiri mengenai masa depannya termasuk soal persaraan.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro Hamilton adalah pemandu paling berjaya dalam sejarah F1 selepas menyamai rekod legenda, Michael Schumacher dengan tujuh kejuaraan dunia, selain memegang rekod kemenangan perlumbaan terbanyak dan petak utama.
Pelumba berusia 41 tahun itu melalui beberapa musim sukar sejak dinafikan gelaran dunia kelapan secara kontroversi pada 2021, dan sejak itu belum mampu kembali bersaing untuk merebut kejuaraan.
Musim 2025 menjadi musim paling buruk dalam karier gemilangnya selepas membuat perpindahan mega dari Mercedes ke Ferrari.
Bagaimanapun, Hamilton menunjukkan peningkatan pada awal musim 2026 apabila meraih podium pertama bersama Ferrari di Grand Prix (GP) China, namun masih berada di belakang kedua-dua pemandu Mercedes dan rakan sepasukan, Charles Leclerc selepas tiga perlumbaan pertama.
Hamilton menandatangani kontrak jangka panjang bersama Ferrari pada 2024 dan sebelum ini menegaskan dia masih belum merancang untuk bersara.
Namun Herbert, pemenang tiga perlumbaan Grand Prix, memberikan nasihat kepada Hamilton.
“Saya mungkin akan cakap satu perkara jika saya rapat dengannya iaitu jadilah seorang yang jujur.
“Kerana akan sampai satu tahap di mana semuanya tidak lagi semudah dahulu. Tahap daya saing mungkin tidak sama seperti sebelum ini.
“Akan ada masa anda perlu berkata: ‘Ia sudah tidak sama seperti dulu, dan saya perlu berhenti. Saya sudah pun melalui zaman saya’,” kata Herbert dalam podcast Stay On Track.
Herbert turut menyatakan Hamilton kini berdepan cabaran lebih besar kerana bersaing dengan generasi pelumba muda.
“Dalam sejarah perlumbaan, semua juara dunia dari era Fittipaldi, Stewart, Clark, Piquet, Mansell, Schumacher, Hakkinen dan lain-lain, semuanya semakin hebat dan lengkap dari generasi ke generasi,” katanya.–Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






