Home Sukan SUKMA SELANGOR 2026: KELANTAN SASAR 16 PINGAT EMAS

SUKMA SELANGOR 2026: KELANTAN SASAR 16 PINGAT EMAS

17
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan menyasarkan sekurang-kurangnya 16 pingat emas, lapan pingat perak dan 11 pingat gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, sasaran itu mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap kesiapsiagaan kontinjen Kelantan yang akan menyertai 35 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

“Penetapan sasaran tersebut dibuat berdasarkan analisis prestasi SUKMA terdahulu, perkembangan semasa atlet pelapis, keberkesanan program pembangunan sukan negeri serta pengukuhan aspek kejurulatihan dan fasiliti latihan.

“Kerajaan negeri melalui MSN Kelantan komited memastikan setiap atlet berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk bersaing secara kompetitif di peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rozi Muhamad (Tendong-PAS) mengenai sasaran rasmi pungutan pingat bagi penyertaan SUKMA Selangor 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Tambahnya, dengan sokongan padu semua persatuan sukan, jurulatih, pegawai serta atlet negeri, sasaran yang ditetapkan adalah realistik dan mampu dicapai, sekali gus memperkukuh kedudukan Kelantan dalam arena sukan negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here