Home Sukan PEYTON STEARNS TEMPAH PERTEMUAN DENGAN JUARA TIGA KALI MADRID

PEYTON STEARNS TEMPAH PERTEMUAN DENGAN JUARA TIGA KALI MADRID

45
0

MADRID: Peyton Stearns menempah pertemuan dengan juara bertahan Aryna Sabalenka selepas menewaskan pemain Perancis, Lois Boisson 6-1, 6-3 dalam aksi pusingan pertama Terbuka Mutua Madrid, hari ini.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, kemenangan itu menyaksikan pemain Amerika Syarikat berkenaan akan berdepan pilihan utama dari Belarus itu yang juga juara tiga kali kejohanan WTA 1000 gelanggang tanah liat di ibu kota Sepanyol itu.

Peyton tidak pernah ketinggalan dalam perlawanan pembukaannya apabila menyelamatkan kedua-dua mata pemecah servis yang dihadapi, selain menukar empat daripada enam peluang mematahkan servis lawan ke atas Boisson.

Seorang lagi wakil Amerika Syarikat, Venus Williams, bagaimanapun tidak bernasib baik apabila tewas 6-2, 6-4 kepada pemain Sepanyol berusia 20 tahun, Kaitlin Quevedo dalam tempoh satu jam 43 minit.

Kekalahan itu adalah yang ke-10 berturut-turut dalam acara perseorangan buat Venus, 45, yang beraksi atas tiket undangan dan turun di gelanggang tanah liat buat kali pertama sejak Roland Garros 2021. 

Venus yang memenangi gelaran WTA pertamanya pada 1998, melakukannya lapan tahun sebelum lawannya itu dilahirkan. 

“Saya sangat terkejut. Saya tak sangka perkara ini akan berlaku.

“Saya sangat gembira kerana dapat beraksi menentang legenda di gelanggang hebat ini buat kali pertama. Ia satu penghormatan dan saya benar-benar gembira berada di sini,” kata Quevedo.

Quevedo yang menyambut ulang tahun ke-20 pada 13 Februari lalu muncul pemain Sepanyol termuda memenangi perlawanan undian utama di kejohanan itu, memadam rekod Garbine Muguruza yang melakukannya pada 2014 ketika berusia 20 tahun 209 hari.

Daripada 10 perlawanan perseorangan yang berlangsung hari ini, hanya satu berlanjutan ke set penentuan apabila pemain Austria, Julia Grabher menewaskan Paula Badosa dari Sepanyol 7-6 (3), 4-6, 6-0 dalam tempoh dua jam 32 minit.

Camila Osorio dari Colombia hanya memerlukan 65 minit untuk mencatat kemenangan 6-0, 6-3 ke atas pemain Russia, Anastasia Zakharova.

Turut mara ialah Magda Linette dari Poland yang menewaskan Robin Montgomery 6-4, 6-3, pemain Hungary Anna Bondar yang mengatasi Viktorija Golubic 6-2, 6-3 serta wakil Sepanyol Jessica Bouzas Maneiro yang membelasah Beatriz Haddad Maia dari Brazil 6-1, 6-1.

Laura Siegemund dari Jerman pula menyingkirkan Irina-Camelia Begu dari Romania 6-4, 6-0, manakala Petra Marcinko dari Croatia menang 6-0, 7-5 ke atas Victoria Jimenez Kasintseva dari Andorra dan Laura Samson dari Republik Czech menewaskan Tatjana Maria dari Jerman 6-4, 6-2.–Reuters, HMetro Online-

IMedikel TV    

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here