Home Luar Negara AS ARAH 28 KAPAL BERPATAH BALIK DI BAWAH SEKATAN PELABUHAN IRAN –...

AS ARAH 28 KAPAL BERPATAH BALIK DI BAWAH SEKATAN PELABUHAN IRAN – CENTCOM

30
0

WASHINGTON: Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) mengarahkan 28 kapal untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan sejak bermulanya sekatan terhadap kapal yang masuk atau keluar dari pelabuhan Iran, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) pada Selasa.

Memetik laporan Bernama Anadolu menerusi Harian Metro, kenyataan itu dibuat ketika Washington mengekalkan sekatan maritim sejak minggu lepas, satu langkah yang disifatkan oleh Tehran sebagai pencabulan terhadap gencatan senjata.

Ketegangan semakin memuncak selepas Iran, yang pada Jumaat menyatakan bahawa Selat Hormuz dibuka semula untuk trafik maritim, mengubah pendiriannya sehari kemudian dan kembali menyekat pergerakan kapal, dengan alasan kegagalan AS memenuhi kewajipan di bawah perjanjian gencatan senjata dua minggu yang dijadualkan tamat pada Rabu.

Presiden AS Donald Trump juga menuduh Iran melanggar gencatan senjata itu “berkali-kali.”

Sementara itu, Anadolu melaporkan trafik kapal komersial yang terhad diteruskan di sekitar Selat Hormuz dalam tempoh 24 jam terakhir sehingga 1200GMT Selasa di tengah-tengah kebimbangan mengenai potensi gencatan senjata antara Iran dan AS. 

Tiga kapal melalui selat itu dari Teluk Arab ke Teluk Oman, manakala sembilan kapal melintasi dari timur ke barat.

Sebuah kapal kontena berbendera Togo, Serrano, kapal pendarat berbendera Comoros, Castle KH, dan kapal tangki pengisi bahan api berbendera Iran, Bavan, yang kesemuanya berada di sekitar pelabuhan Iran menurut data AIS, melalui selat tersebut dari sebelah barat ke timur.

Jabatan Negara AS pada Selasa memaklumkan bahawa pihaknya sedang membantu rakyat Amerika di Timur Tengah untuk pulang ke tanah air.–Bernama Anadolu, HMetro Online-

IMedikel TV    

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here