KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa mencuri tumpuan umum di sebalik insiden cemas membabitkan rakan sepasukannya, Jairo Da Silva ketika aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berdepan Al Ahli di Stadium King Abdullah Sports City Hall, Jeddah, malam tadi.
Menerusi video yang tersebar di media sosial, Insa dilihat bergegas ke arah Jairo yang terbaring di atas padang selepas terkena sepakan gunting dilakukan pertahanan Al Ahli, Ali Majrashi pada bahagian muka ketika perlawanan memasuki minit ke-36.
Melihat keadaan Jairo yang seakan tidak sedarkan diri, Insa dilihat membuat isyarat seakan meminta pasukan perubatan dan petugas supaya bergegas untuk memasuki padang dan memberi bantuan awal kepada penyerang Harimau Selatan itu.
Apa yang menjadi tumpuan dan mendapat pujian daripada orang ramai yang menonton video berkenaan adalah tindakan Insa yang kemudian berlari dalam keadaan marah ke kawasan tepi padang untuk mengambil pengusung.
Tindakan berkenaan dilakukan pemain tengah berusia 40 tahun dipercayai kerana pasukan petugas lambat untuk membawa pengusung ke kawasan padang ketika ramai pemain cemas melihat keadaan Jairo.
Insa juga dilihat menarik petugas yang berada di tepi padang untuk mengambil pengusung dan membawanya ke kawasan padang, tempat Jairo terbaring.
Jairo kemudian diusung keluar sebelum dikejarkan ke hospital dan JDT dalam kenyataan, hari ini memaklumkan pemain berusia 34 tahun itu mengalami koyakan pada bahagian bibir serta menerima beberapa jahitan.
Kelab berkenaan bagaimanapun memaklumkan perkembangan positif yang mana penyerang dari Brazil itu sudah dibenarkan keluar dari hospital. – BH Online –
IMedikel TV






