Home Hiburan AINA GUNA 150 HELAI TUALA ‘GOOD MORNING’ UNTUK BUSANA UNIK

AINA GUNA 150 HELAI TUALA ‘GOOD MORNING’ UNTUK BUSANA UNIK

111
0

SHAH ALAM: Keberanian bereksperimen dengan fesyen terus menjadi identiti Aina Abdul apabila sekali lagi tampil dengan busana unik ketika beraksi pada Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40 SA) di sini, malam tadi.

Kali ini, Aina menggayakan busana diperbuat daripada tuala putih jenama ‘Good Morning’ yang sering digunakan rakyat Malaysia, lantas mengundang reaksi ramai.

Menurut Aina, pemilihan konsep itu mempunyai makna tersendiri yang melambangkan semangat baharu dalam perjalanan seninya.

“Untuk istilah ‘Good Morning’ itu juga ada simbolik. Sebelum ini, ada orang ingat saya mahu berehat tetapi sebenarnya tidak. Jadi, konsep ini menandakan kemunculan semula saya dengan semangat yang baharu.

“Untuk busana ini, saya menggunakan kira-kira 150 helai tuala yang berkualiti tinggi, iaitu Triple A. Materialnya tebal dan sesuai dijadikan pakaian.

“Proses menyiapkannya mengambil masa kira-kira dua minggu dan ini adalah antara busana kegemaran saya,” katanya selepas membuat persembahan pada hari pertama AJL40 SA di Studio TV3, Glenmarie di sini, malam tadi.

Aina berkongsi, idea busana itu dicetuskan oleh pereka fesyen terkenal, Melinda Looi yang mahu menampilkan sesuatu di luar kebiasaan.

“Idea ini datang daripada Melinda. Kami sudah lama berbincang mengenai apa lagi kelainan yang boleh dilakukan memandangkan pelbagai konsep telah dicuba sebelum ini.

“Melinda kemudian menghantar gambar tuala itu dan mencadangkan idea itu kepada saya. Secara peribadi, saya memang gemar sesuatu yang berbeza, jadi saya sahut cabaran itu,” katanya.

Sementara itu, Melinda berkata, rekaan itu diinspirasikan daripada elemen nostalgia yang dekat dengan kehidupan seharian, khususnya kenangan zaman kanak-kanak.

“Inspirasi busana Aina ini adalah untuk mengimbau kenangan zaman kecil bersama nenek yang sering menggunakan kain ini untuk mengelap tingkap, mengemas rumah dan sebagainya.

“Saya ingin mencipta sesuatu yang ada elemen nostalgia serta ikatan kekeluargaan dan sesuatu yang mampu diingati ramai. Malah, saya sendiri terkejut apabila cadangan ini diterima.

“Walaupun pada awalnya kami tidak berapa gemar dengan pemilihan kain ini. Namun, apa yang penting, Aina berpuas hati, gembira dan yakin dengan dirinya,” katanya.

Malam tadi, menerusi AJL40 SA yang disiarkan secara langsung TV3, Aina mempertaruhkan lagu ciptaannya berjudul Kamu dan bersaing dengan 12 lagu lain.

AJL40 SA diteruskan dengan persembahan daripada lapan lagi lagu pada malam ini, sebelum karya yang layak bertanding pada malam kemuncak AJL40, diumumkan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here