INCHEON: Seorang wanita warga emas berusia 90-an dijatuhi hukuman penjara kerana membantu ‘mencuci’ hasil kegiatan dadah bagi pihak anak lelakinya yang kini dipenjarakan di Kemboja, lapor The Korea Herald.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, mahkamah Daerah Incheon menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap tertuduh, dan mengarahkan pelucutan hak sebanyak 386 juta won (kira-kira RM1.03 juta) kerana melanggar Akta Kes Khas Berkaitan Pencegahan Perdagangan Haram Narkotik.
Mahkamah mendapati warga emas itu secara sedar menerima dan memindahkan dana yang berkait dengan jenayah narkotik.
Hakim berkata, tertuduh menerima hasil haram walaupun menyedari keadaan yang menunjukkan kaitannya dengan kesalahan berkaitan dadah.
Mahkamah turut menyatakan, terdapat bukti yang melemahkan dakwaannya bahawa dia tidak mengetahui perkara berkenaan.
Difahamkan, warga emas itu melawat Kemboja sebanyak lima kali pada 2019 dan dimaklumkan melalui panggilan telefon mengenai penahanan anaknya di negara itu.
Keadaan itu menyukarkan untuk mempercayai bahawa dia tidak mengetahui pembabitan anaknya dalam pengedaran dadah.
Dalam pada itu, hakim berkata, tindakannya menyukarkan pengesanan keuntungan haram dan menyumbang kepada penyebaran narkotik, menjadikan kesalahan itu amat serius.
Bagaimanapun, mahkamah juga mengambil kira faktor mitigasi termasuk usia lanjutnya, ketiadaan rekod kesalahan berkaitan dadah sebelum ini serta hakikat bahawa dia bertindak atas arahan anaknya.
Sementara itu, pendakwa raya berkata, tertuduh menerima sejumlah 386.42 juta won (kira-kira RM1.036 juta) sebanyak sembilan kali daripada individu tidak dikenali antara April 2020 hingga Februari 2022.
“Dia kemudian memindahkan wang berkenaan ke akaun bank yang ditetapkan oleh anaknya,” katanya.
Anaknya yang berusia 60-an ditahan di Kemboja pada Julai 2020 atas pertuduhan termasuk pemilikan methamphetamine dan masih dipenjarakan di negara itu.
Penyiasat percaya lelaki itu terus menyelaraskan operasi pengedaran dadah dari dalam penjara menggunakan telefon bimbit dengan mengatur sekurang-kurangnya sembilan penghantaran narkotik ke Korea Selatan antara April 2019 hingga Julai 2022.–Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






