Home Hiburan MALAIKAT MALAM BUKAN SEKADAR AKSI LUMBA

MALAIKAT MALAM BUKAN SEKADAR AKSI LUMBA

60
0

MENGGABUNGKAN aksi kelajuan penuh adrenalina dengan kisah cinta, Malaikat Malam nyata berbeza daripada filem ‘rempit’ lain yang menumpukan aksi perlumbaan motosikal semata-mata.

Malah, Malaikat Malam turut memberi penekanan kepada hubungan di antara watak terutama tentang persoalan kesetiaan dan pengorbanan yang mampu mempengaruhi tujuan hidup seseorang.

Naratif ini mencerminkan realiti bahawa setiap individu mempunyai peluang untuk merubah kehidupan supaya lebih baik walaupun berada dalam dunia yang dipandang negatif.

Filem ini adalah taruhan terbaharu daripada empat penerbit terkemuka tanah air iaitu Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios.

Pengasas Skop Productions dan Penerbit Eksekutif filem ini, Datuk Yusof Haslam berkata, pihaknya melihat Malaikat Malam sebagai satu usaha untuk mengangkat semula genre pemotoran dengan pendekatan lebih kemas daripada segi penceritaan dan pembikinan.

“Kami memberi penekanan kepada disiplin produksi, kekuatan skrip serta pembangunan watak supaya filem ini tidak hanya bergantung kepada aksi semata-mata.

“Pada masa sama, penting untuk kami memastikan karya ini mempunyai nilai tontonan yang kukuh dan mampu berdiri sebagai sebuah naskhah berkualiti dalam landskap industri perfileman tempatan hari ini,” katanya.

Sementara, Penerbit Eksekutif bersama Malaikat Malam merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, genre permotoran atau ‘rempit’ sentiasa mendapat tempat di hati penonton tempatan.

Katanya, melalui Malaikat Malam, mereka dapat mempersembahkan versi yang lebih relevan.

“Filem ini memperlihatkan watak utama lakonan Syafiq Kyle meneruskan legasi watak ikonik ‘mat motor’ dan berpotensi muncul sebagai watak ikon baharu pemotoran.

“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi dengan rakan penerbit Viper Studios, Skop Productions dan Primeworks Studios.

“Gabungan kreatif ini membolehkan kami mempersembahkan filem penuh adrenalina serta menyentuh sisi kemanusiaan dalam konteks impian, pilihan dan peluang. Kami yakin elemen itu menjadikan filem ini dekat dengan penonton,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif bersama Malaikat Malam merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima serta Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, pihaknya percaya Malaikat Malam bukan sahaja menawarkan pengalaman tontonan yang berlainan.

“Malah, ia memberikan dimensi emosi dan penceritaan yang lebih mendalam, sekali gus memperkukuh kedudukan filem tempatan sebagai karya berkualiti dan berdaya saing di pasaran,” katanya.

Filem sentuhan pengarah muda, Nazifdin Nasrudin yang juga anak didik Syafiq Yusof diterajui pelakon Syafiq Kyle berganding Tracie Sinidol.

Selain kemunculan semula Que Haidar, ia turut dibintangi Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf dan Riezman Khuzaimi. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here