PETALING JAYA: Penyanyi, Liza Hanim bersedia memaafkan individu yang terbabit dalam kes buli siber terhadap anaknya, Marsya Qistina, namun dengan syarat pelaku tampil memohon maaf secara bersemuka.
Memetik laporan Harian Metro, Liza atau nama penuhnya Haliza Hanim Abdul Halim, 47, berkata dia kini berada dalam fasa bertenang selepas membuat laporan polis sehari sebelum Ramadan, susulan tindakan melampau individu terbabit.
“Dia sudah membuat permohonan maaf, tetapi syarat saya datang berjumpa dengan saya. Kalau dia berani berkata sedemikian, jadilah seperti lelaki.
“Kalau awak sudah minta maaf, maknanya awak mengakui kesilapan. Cuma datang berjumpa saya, itu sahaja syarat. Jika tidak, saya akan bawa perkara ini ke peringkat seterusnya,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media iklan raya ‘Bila’ dan majlis berbuka puasa LOL Entertainment, di sini, baru-baru ini.
Penyanyi lagu Siapa Sangka Siapa Menduga itu berkata, ini bukan kali pertama dia dan anaknya berdepan situasi buli siber, namun sebelum ini mereka memilih untuk tidak melayan.
“Untuk saya dan Marsya, perkara ini sudah beberapa kali berlaku, tetapi kami hanya menepis dan mengabaikannya.
“Sebagai ibu, saya tidak boleh melihat anak diperlakukan begitu, jadi saya perlu bersuara untuk mempertahankannya,” katanya.
Katanya, tindakannya bukan sekadar mempertahankan anak, tetapi juga sebagai peringatan kepada masyarakat bahawa undang-undang sedia ada boleh digunakan untuk melindungi mangsa buli siber.
Sebelum ini, Liza mendedahkan Marsya menjadi mangsa buli di media sosial selepas ada pihak mempertikaikan pencapaiannya sebagai juara program realiti Talk To My Manager (TTMM) musim pertama. – HMetro Online –
IMedikel TV






