Home Buletin Semasa STR FASA 2 DIAWALKAN MULAI 10 MAC, 5.2 JUTA PENERIMA TERIMA BANTUAN...

STR FASA 2 DIAWALKAN MULAI 10 MAC, 5.2 JUTA PENERIMA TERIMA BANTUAN HINGGA RM600

181
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kerajaan mempercepatkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang akan mula dikreditkan secara berperingkat kepada 5.2 juta penerima bermula 10 Mac ini.

Kemneterian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim berkata langkah itu diambil bagi membantu rakyat membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

“Jumlah penerima bagi STR Fasa 2 meningkat kepada 5.2 juta orang, berbanding 5 juta penerima pada Fasa 1 yang dibayar pada Januari lalu.

“Bagi Fasa 2, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion, meningkat daripada RM1.1 bilion pada Fasa 1.

“Ini termasuk 200,000 penerima baharu yang diluluskan dan akan menerima bayaran bermula 30 Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Menurut beliau secara keseluruhan, bantuan STR Fasa 2 dijangka memanfaatkan 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas tiada pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM600 mengikut kategori kelayakan.

Anwar berkata peluasan penerima STR Fasa 2 membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat bantuan sosial kerajaan, khususnya ketika negara menghampiri Aidilfitri.

“Melalui STR, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta SARA Untuk Semua, Kerajaan MADANI terus berusaha memastikan hasil negara dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh rakyat, terutama golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bagi tahun 2026, jumlah keseluruhan peruntukan bagi STR dan SARA adalah sebanyak RM15 bilion, sekali gus kekal sebagai yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta soalan lazim (FAQ) mengenai STR melalui portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here