Home Sukan JURULATIH IRAQ MINTA AKSI PLAYOFF PIALA DUNIA DITANGGUH

JURULATIH IRAQ MINTA AKSI PLAYOFF PIALA DUNIA DITANGGUH

107
0

ABU DHABI: Jurulatih Iraq, Graham Arnold menggesa aksi playoff antara benua Piala Dunia di Mexico hujung bulan ini ditangguhkan berikutan kekacauan perjalanan yang tercetus susulan konflik di negara jiran Iran.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Iraq bimbang mereka mungkin tidak dapat membawa pemain serta pegawai pasukan ke Mexico bagi aksi menentang sama ada Bolivia atau Suriname di Monterrey pada 31 Mac ini berikutan sekatan perjalanan di Timur Tengah.

Arnold berkata, jika terpaksa membentuk pasukan hanya daripada pemain yang beraksi di luar Iraq, ia akan menjejaskan peluang negara itu untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1986.

“Ia bukan pasukan terbaik kami dan kami memerlukan barisan terbaik untuk perlawanan terbesar dalam tempoh 40 tahun,” kata jurulatih dari Australia itu kepada Australian Associated Press dari kediamannya di Emiriah Arab Bersatu.

Menurutnya, rakyat Iraq sangat meminati bola sepak dan kegagalan negara itu layak ke Piala Dunia sejak empat dekad lalu menjadi antara sebab utama beliau menerima jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, Arnold berkata pihaknya kini sedang berusaha mencari alternatif lain susulan lapangan terbang di Iraq masih ditutup.

Ruang udara Iraq ditutup sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari lalu sebelum Republik Islam itu bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta beberapa negara Teluk.

Bolivia dan Suriname dijadual bertemu pada separuh akhir playoff antara konfederasi di Monterrey pada 26 Mac bagi menentukan lawan Iraq di final lima hari kemudian.

Arnold mencadangkan supaya perlawanan itu ditangguhkan bagi memberi masa kepada Iraq membuat persiapan terbaik.

“Saya rasa jika FIFA menangguhkan perlawanan ini, kami akan mempunyai masa untuk membuat persiapan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Presiden Persekutuan Bolasepak Iraq, Adnan Dirjal sedang berusaha keras bagi memastikan impian negara itu untuk kembali ke pentas Piala Dunia menjadi kenyataan.

Piala Dunia 2026 akan berlangsung di AS, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai.

Setakat ini, badan induk bola sepak dunia FIFA belum memberikan sebarang maklum balas terhadap cadangan penangguhan itu. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here