Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 68, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli berhampiran Kampung Bedah Batu Gajah, di sini, petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Yunos Omar, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 5.50 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Jeli menghala ke Tanah Merah sebelum dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.
“Motosikal mangsa kemudian terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penumpang hadapan dilaporkan mengalami kesakitan di bahagian muka.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan penunggang motosikal mengawal kenderaan sehingga terbabas ke laluan bertentangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Mohd Haki turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
IMedikel TV






