NEW YORK: Tiger Woods tidak berada dalam senarai pemain pasukan TGL miliknya, Jupiter Links GC, apabila turun beraksi pada perlawanan terakhir musim menentang The Bay Golf Club, Selasa ini.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Jupiter kini berada di tangga kelima daripada enam pasukan, ketinggalan satu mata daripada kelompok layak ke playoff. Kemenangan ke atas Bay sudah memadai untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
Barisan Jupiter akan dibarisi Max Homa, Kevin Kisner dan pemain Korea Selatan, Tom Kim. Mereka akan berdepan Wyndham Clark, Ludvig Aberg dari Sweden dan Min Woo Lee dari Australia yang mewakili Bay.
Woods berkemungkinan terlepas keseluruhan musim kedua liga golf simulator tertutup yang diasaskannya bersama Rory McIlroy. Jika Jupiter layak ke playoff, mereka akan beraksi dalam perlawanan separuh akhir pada 17 Mac, manakala final berlangsung minggu berikutnya.
Juara 15 kejohanan major itu masih dalam proses pemulihan selepas mengalami koyakan tendon Achilles pada Mac 2025 dan menjalani pembedahan belakang ketujuh pada Oktober.
Pada Januari, Woods menjelaskan dia belum bersedia untuk bersaing dalam format TGL.
“Saya baru beralih kepada pukulan jarak dekat, itu sahaja setakat ini.
“Saya perlukan lebih daripada itu untuk beraksi dalam TGL. Dengan tahap kelajuan saya sekarang, mungkin saya hanya mampu bermain di lubang Stinger, sekadar melakukan pukulan rendah dari tee.
“Namun, saya menunjukkan perkembangan yang baik dan semakin kuat. Cuma proses penyembuhan tulang mengambil masa yang lama untuk benar-benar pulih dan stabil,” kata Woods.
Bagaimanapun, ketika bercakap kepada wartawan pada kejohanan Genesis Invitational bulan lalu, Woods tidak menolak kemungkinan beraksi di Masters pada April dan berkata beliau kini sudah mampu melakukan pukulan penuh.
“Bukan setiap hari dalam keadaan terbaik, tetapi saya boleh melakukannya,” kata Woods. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






