KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KL City) FC, Risto Vidakovic menjangkakan aksi menentang Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, esok bakal menjadi perlawanan yang cukup sukar buat anak buahnya.
Menurutnya, pertemuan menentang lawan yang sama dalam tempoh singkat menjadikan persiapan pasukan lebih mencabar kerana kedua-dua pasukan sudah mengenali corak permainan masing-masing dengan baik.
Memetik laporan Harian Metro, beliau berkata, situasi itu menyebabkan perlawanan berkenaan seakan menemukan dua pasukan yang sudah memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing.
“Perlawanan menentang Terengganu adalah perlawanan yang sangat rumit kerana kami bermain menentang mereka dua kali berturut-turut.
“Apabila kamu bermain dengan lawan yang sama, ia sudah seperti keluarga, anda tahu? Jadi saya rasa ia perlawanan yang sangat sukar untuk dipersiapkan kerana kami sudah mengenali satu sama lain dengan sangat baik,” katanya.
Vidakovic berkata, kedua-dua pasukan kini berada dalam keadaan di mana setiap aspek permainan sudah dianalisis dengan teliti oleh pihak lawan.
Menurutnya, Terengganu sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan KL City, begitu juga sebaliknya yang menjadikan ruang untuk mencipta kejutan semakin terhad.
“Mereka tahu semua bahagian baik dan buruk kami, kami juga mengenali mereka.Sukar untuk bersedia dari segi taktikal kerana anda tidak boleh membuat kejutan lagi,” katanya.
Beliau turut mengakui situasi pasukannya yang mempunyai pilihan pemain simpanan terhad menjadikan tugas merencana strategi lebih mencabar.
Ketika ini, KL City berada di kedudukan ketiga Liga Super selepas mengutip33 mata manakala Terengganu pula ditempat kelima menerusi 28 mata. – HMetro Online –
IMedikel TV






