Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: BERSATU Kelantan menegaskan setakat ini tiada mana-mana bahagian parti di negeri ini yang mengumumkan pembubaran atau perletakan jawatan kepimpinan.
Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Nor berkata parti itu kekal utuh dan stabil meskipun sebelum ini terdapat desas-desus mengenai usaha ke arah itu.
“Memang kita ada buat pemantauan, setakat ini saya lihat tiada masalah. Dan di Kelantan adalah satu-satunya negeri yang belum ada mana-mana bahagian yang umum pembubaran atau perletakan jawatan seperti yang dibaca di akhbar termasuk di Johor, Perak dan Selangor.
“Saya boleh cakap ya, parti ini masih utuh di Kelantan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Bulan Emas, di sini malam tadi.
Jelasnya kepimpinan negeri sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga sekiranya berlaku sebarang perletakan jawatan dalam mana-mana bahagian.
“Kita sudah bersedia dengan pengganti sekiranya berlaku. Kalau ada ketua bahagian letak jawatan, timbalannya akan ambil alih.
“Kalau timbalan pula letak jawatan, ada lagi barisan seterusnya. Pengganti mestilah dalam bahagian yang sama. Kita sudah bersedia tetapi setakat ini belum ada kes seperti itu,”katanya.
IMedikel TV






