Home Buletin Semasa WARGA EMAS JUAL BARANG KEMAS BIAYAI PEMBEDAHAN MATA

WARGA EMAS JUAL BARANG KEMAS BIAYAI PEMBEDAHAN MATA

168
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Demi memastikan dapat meneruskan kehidupan seharian, seorang warga emas sanggup menjual barang kemas miliknya bagi menampung kos pembedahan mata, meskipun hidup sendirian dalam serba kekurangan

Habsah Mamat, 83, dari Kampung Cherang Tok Rong, di sini, berkata masalah penglihatan akibat selaput kedua belah matanya sebelum ini membataskan rutin hariannya, terutama untuk membaca al-Quran yang menjadi amalannya setiap hari.

“Saya jual barang kemas kira-kira 10 tahun lalu untuk buat pembedahan buang selaput pada mata kiri. Sekarang saya boleh membaca al-Quran dengan jelas walaupun hanya bergantung kepada mata kiri,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di kediamannya, baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun berdepan kekangan kesihatan dan faktor usia, semangat untuk mendekatkan diri dengan kitab suci itu tidak pernah luntur, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Hasil pembedahan tersebut, penglihatannya kini kembali jelas pada sebelah mata, sekali gus membolehkannya kembali membaca al-Quran setiap hari

Malah, pada hari tertentu seorang guru al-Quran akan datang ke rumahnya bagi membimbing bacaan.

“Guru tersebut akan datang setiap hari mengajar saya mengaji kecuali jika ada hal,”katanya.

Bagaimanapun ibu kepada tiga anak itu memilih untuk tinggal sendiri walaupun anak-anaknya sudah berkeluarga.

Menurut Habsah, anak sulungnya, Razali Mat Soh, 69, yang menetap di Tanah Merah, tidak dapat menjaganya kerana uzur akibat strok. 

Manakala anak keduanya, Faridah, 63, tinggal bersebelahan rumah namun turut menghidap beberapa penyakit kronik termasuk darah tinggi, darah rendah, kencing manis dan masalah jantung.

Anak bongsunya, Aryati, 45, menetap di Pasir Puteh bersama suami, Amran Hassan, 52,dan tiga anak mereka.

“Saya mempunyai tiga orang anak, namun lebih selesa tinggal di rumah sendiri kerana masing-masing sudah berkeluarga.

“Anak kedua saya Aryati dan suaminya Amran akan pulang menjenguk saya sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

“Kadang-kadang mereka akan membawa saya pulang ke Kampung Changgai, Pasir Puteh untuk tinggal bersama buat sementara waktu,”katanya.

Walaupun tinggal bersendirian, Habsah tetap menguruskan keperluan harian dengan kudrat sendiri termasuk memasak juadah ringkas seperti nasi dan ikan goreng untuk bersahur dan berbuka.

“Biasanya kalau sihat memang saya sendiri akan masak nasi dan goreng ikan untuk juadah berbuka,”katanya ketika ditemui kru IMedikel TV, di rumahnya, baru-baru ini.

Beliau turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM400 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi menampung perbelanjaan asas.

Menurut Habsah cucunya yang kedua, Anis Armila Amran, 20, yang kini melanjutkan pengajian di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu, turut pulang menjenguk neneknya sekurang-kurangnya seminggu sekali.

“Cucu saya akan datang seminggu sekali menjenguk saya dan membeli keperluan harian menggunakan duit tersebut termasuk susu yang saya minum.

“Disebabkan saya juga mempunyai masalah lutut, saya mengamalkan minum susu setiap hari,”katanya.

Mengimbau kehidupan lampau, Habsah pernah merantau bekerja di Johor dan mahir menganyam saji sebagai sumber pendapatan sampingan.

Namun masalah penglihatan menyebabkan beliau tidak lagi mampu meneruskan kerja tersebut sejak tiga tahun lalu.

Kini, meskipun langkahnya tidak lagi segagah dulu, ketabahan Habsah menjadi inspirasi seorang warga emas yang terus berdikari, mengisi hari-hari dengan ibadah dan tidak pernah berhenti berharap pada rahmat Ilahi.

Sementara itu Koordinator 3rd Force Pasir Mas, Zailah Shafie yang turut mengunjungi Habsah menyampaikan sumbangan orang ramai kepada Habsah.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here