Home Buletin Semasa JULUNG KALI DILANCAR, PROGRAM BULAN EMAS ANGKAT JENAMA EMAS KELANTAN

JULUNG KALI DILANCAR, PROGRAM BULAN EMAS ANGKAT JENAMA EMAS KELANTAN

147
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Julung kalinya, kerajaan negeri melancarkan program Bulan Emas Kelantan pada bulan depan bagi mempopularkan jenama emas Kelantan serta memperkukuh peranannya sebagai sandaran ekonomi keluarga dan tarikan pelancongan negeri ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pelaburan emas yang dilihat lebih stabil dalam jangka panjang berbanding instrumen lain.

“Bulan Emas juga menjadi platform membantu pengusaha kedai emas, khususnya di sekitar Kota Bharu, melalui promosi dan publisiti yang lebih tersusun.

“Ini kali pertama kita melancarkan Bulan Emas di Kelantan walaupun hubungan masyarakat negeri ini dengan emas memang sangat rapat sejak dahulu lagi. Ia sebahagian daripada budaya dan amalan tradisi masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Bulan Emas, di sini malam tadi.

Beliau berkata, dalam konteks semasa, emas bukan sahaja dilihat sebagai perhiasan, malah instrumen simpanan nilai yang berpotensi membantu kestabilan kewangan keluarga.

“Pergerakan harga emas kebelakangan ini menunjukkan julat turun naik yang agak tinggi.

“Justeru, emas boleh menjadi satu bentuk simpanan fizikal yang lebih selamat untuk jangka panjang,” katanya.

Mengulas aspek harga, beliau menjelaskan bahawa harga emas adalah ditentukan oleh pasaran dunia dan badan penetapan tertentu, justeru peniaga tidak boleh memanipulasi harga asas logam berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, perbezaan antara sesebuah kedai emas dengan yang lain bergantung kepada reka bentuk, kadar upah pembuatan serta insentif tambahan seperti kemudahan bayaran ansuran.

“Yang membezakan ialah kreativiti pengusaha dari segi rekaan dan kadar upah. Ada juga yang menawarkan kemudahan ansuran atau insentif tertentu untuk menarik pelanggan.

“Saya juga menyarankan peniaga emas untuk menurunkan kadar upah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji tahap keselamatan di kawasan tumpuan jual beli emas di negeri ini yang menurutnya mencerminkan kejujuran dan keharmonian masyarakat setempat walaupun transaksi mencecah ratusan ribu ringgit.

Katanya, menerusi Bulan Emas, kerajaan negeri bukan sahaja mahu menggalakkan pembelian dalam kalangan rakyat tempatan, malah menarik pelancong luar untuk menjadikan emas sebagai salah satu sebab berkunjung ke Kelantan.

“Orang datang ke Kelantan bukan sahaja untuk membeli-belah atau menikmati makanan tradisi, tetapi juga untuk mendapatkan emas yang mempunyai identiti dan keunikan tersendiri,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here