RANTAU PANJANG: Taktik licik penyeludup meninggalkan kenderaan di kawasan hutan belukar bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila lebih satu tan barangan kawalan dirampas dalam operasi bersepadu, di Kampung Tasek, kelmarin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi laman rasmi Facebook memaklumkan, operasi dijalankan pada jam 1.02 tengah hari oleh sepasukan anggota penguat kuasa kementerian itu bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor.
“Pasukan operasi mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Waja bernombor pendaftaran tempatan yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan.
“Suspek dikejar sejauh kira-kira 10 kilometer (km) bermula dari Lubok Gong melalui beberapa kawasan termasuk Banggol Kulim sebelum bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan terbabit di sebuah rumah tinggal dalam kawasan hutan belukar,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sejumlah besar minyak masak bersubsidi pelbagai jenama serta gula yang dipercayai untuk diseleweng keluar.
“Antara barangan yang disita ialah 510 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dan 648kg gula berjenama, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan melebihi satu tan.
“Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM8,000,” jelas kenyataan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melibatkan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barangan kawalan.
IMedikel TV






