GOPPENSTEIN, SWITZERLAND: Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro sebuah kereta api wilayah tergelincir awal pagi Isnin di selatan Switzerland, dengan lima orang cedera akibat insiden itu.
“Lima orang cedera. Seorang daripada mereka dibawa ke hospital,” kata polis, sambil menambah baki penumpang kereta api di Goppenstein itu dipindahkan.
Menurut pihak berkuasa, kereta api itu tergelincir pada 7 pagi di Goppenstein.
Wilayah itu kini berada di tahap empat daripada lima tahap amaran tanah runtuh salji.
Polis berkata, kira-kira 30 orang dipindahkan dari kereta api berkenaan.
Operator kereta api persekutuan, CFF berkata di laman webnya, operasi kereta api terhenti antara Goppenstein dan Brig akibat tanah runtuh salji.
Goppenstein, sebuah hab utama untuk pemunggahan pengangkutan jalan dan kereta api, terletak di pintu keluar terowong kereta api Lotschberg.
Pada 12 Februari lalu, tanah runtuh salji menimbus sebahagian jalan utama menghubungkan lembah Lotschental ke dataran di Goppenstein.
Lalu lintas jalan raya dan perkhidmatan kereta api pengantara yang membawa kereta (car
shuttle) Lotschberg terganggu selama beberapa jam.
Namun, insiden itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan.
Switzerland terkenal dengan rangkaian kereta api yang luas dan tepat pada masanya, dengan perkhidmatan kerap antara bandar, pekan dan kampung.
Peminat kereta api datang dari seluruh dunia untuk menaiki laluan paling indah atau laluan yang sangat curam.
Menurut statistik dikeluarkan kerajaan, rakyat Switzerland adalah pengguna kereta api paling banyak di Eropah dari segi kilometer perjalanan perorang, tetapi kadar kemalangan menurun dalam beberapa dekad kebelakangan walaupun penggunaan meningkat. – AFP, HMetro –
IMedikel TV






