Home Buletin Semasa MAJISTRET TEGUR PEGUAM MUAT NAIK VIDEO TIKTOK ULAS KES SUBJUDIS

MAJISTRET TEGUR PEGUAM MUAT NAIK VIDEO TIKTOK ULAS KES SUBJUDIS

790
0

Oleh:Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret di sini, semalam menegur seorang peguam yang memuat naik video di aplikasi TikTok mengulas perbicaraan kes kesalahan seksual di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan melibatkan seorang pesara guru.

Majistret Rais Imran Hamid dalam teguran lisannya mengingatkan peguam agar sentiasa menjaga etika profesionalisme dan tidak mendahului proses mahkamah dalam mencari keadilan.

“Mahkamah hormati hak peguam untuk publisiti setakat had yang dibenarkan, tapi kata pepatah ‘jangan lebih sudu dari kuah’,” tegas beliau selepas membenarkan permohonan daripada pihak pendakwaan untuk satu Perintah Larangan Bersuara (gag order) terhadap peguam tersebut.

Gag order adalah satu perintah mahkamah yang melarang pihak tertentu daripada mendedahkan atau melaporkan maklumat berkenaan sesuatu kes kepada umum, bertujuan bertujuan untuk mengelakkan prejudis terhadap perbicaraan dan memastikan keadilan tidak terjejas oleh maklumat belum dibuktikan di mahkamah.

Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan terdapat peguam daripada firma yang mewakili orang kena tuduh (OKT) memuat naik video pada hari sama selepas tarikh perbicaraan lepas, sedangkan mangsa belum selesai memberikan keterangan pemeriksaan utama.

Menurut pendakwaan, video berkenaan menyentuh antaranya mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang belum dikemukakan dan diuji di mahkamah.

Ulasan itu didakwa melampaui batas laporan adil (fair reporting), melanggar prinsip subjudis serta berpotensi menimbulkan intimidasi terhadap saksi pendakwaan.

Peguam berkenaan hadir ke mahkamah semalam dan memohon maaf atas keterlanjuran itu serta memaklumkan video tersebut telah diturunkan.

Mengikut pertuduhan, pesara guru terbabit didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang pekerja di sebuah pasar raya di Kubang Kerian pada 27 November, dua tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

OKT dituduh pada 15 Disember 2024 dan mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan. Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000.

Majistret turut menegaskan peranan pihak-pihak sebagai ‘officer of the court’ adalah untuk membantu mahkamah menegakkan keadilan.

“Hormati hak semua pihak terutamanya klien sendiri supaya kes didengar dengan adil dan saksama.

“Kerja mungkin berseberangan tetapi pendakwaan bukan musuh, ada peranan yang sama dengan pembelaan untuk mengungkap kebenaran kes,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim, Muhammad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri manakala OKT diwakili firma di Kota Bharu.

Perbicaraan bersambung Jun depan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here