Home Buletin Semasa PERSEPSI RASUAH, SALAH LAKU PERLU DILIHAT SEBAGAI ROMPAKAN NEGARA – EAIC

PERSEPSI RASUAH, SALAH LAKU PERLU DILIHAT SEBAGAI ROMPAKAN NEGARA – EAIC

204
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Rasuah dan salah laku perlu dilihat sebagai rompakan terhadap negara sekaligus menuntut penjawat awam untuk bertindak segera dan berani mencegah kesalahan daripada akar umbi.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam kenyataan berkata, persepsi dan naratif terhadap rasuah perlu diubah untuk mencerminkan komitmen serius negara terhadap integriti selaras dengan sasaran peningkatan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

“Ini menuntut pihak berkuasa dan ketua jabatan untuk lebih terbuka dan sanggup mengambil tindakan yang mungkin tidak popular, termasuk melaksanakan syor tatatertib dan menyingkirkan pegawai yang korup sebagai langkah tegas untuk menegakkan integriti dan akauntabiliti institusi,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Dalam pada itu, EAIC menyambut baik perkembangan terbaru CPI yang mencatatkan Malaysia pada skor 52 mata dan kedudukan ke-54 dunia.

EAIC berkata, bagi merealisasikan sasaran 25 negara teratas menjelang 2033, usaha reformasi perlu bermula dengan tindakan yang kredibel dan memberi impak nyata bukan sekadar keputusan atau persetujuan di peringkat dasar.

Mengulas lanjut, EAIC turut menyahut baik penekanan Transparency International Malaysia mengenai keperincian reformasi institusi dan perundangan, termasuk penubuhan Ombudsman Malaysia yang harus dirancang dan dilaksanakan dengan teliti tanpa sebarang kelompangan, berkesan serta memberi manfaat sebenar yang lebih tinggi berbanding agensi sedia ada.

Tambahnya, selaku Ketua Peneraju Focus Group Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas CPI, EAIC akan terus melaksanakan usaha dan mekanisme bagi memperkukuh integriti dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan.

“EAIC percaya bahawa melalui komitmen terhadap tindakan nyata dan tadbir urus yang teguh, Malaysia mampu mencapai kedudukan 25 teratas CPI dan meneguhkan keyakinan rakyat terhadap integriti negara,” jelas kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here