MILAN: Runtuhan salji semalam mengorbankan tiga individu yang sedang bermain ski di luar laluan rasmi di kawasan pergunungan Trentino Alto Adige dan Lombardy, menurut perkhidmatan penyelamat Alpine.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, dua wilayah berkenaan adalah lokasi penganjuran beberapa acara Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina yang sedang berlangsung ketika ini.
Dua kejadian runtuhan salji dilaporkan melanda kawasan Marmolada di Dolomites, tidak jauh dari Cortina d’Ampezzo yang menjadi lokasi pertandingan ski Alpine wanita.
Pasukan penyelamat Alpine berkata, mereka menemukan mayat seorang lelaki yang bermain ski di luar trek bersama tiga rakannya di Punta Rocca iaitu puncak setinggi 3,300 meter (3.3 kilometer) di banjaran Marmolada.
Lelaki terbabit dilaporkan tertimbus dalam runtuhan salji yang berlaku semula jadi, meskipun tiga rakannya cuba mencari dengan bantuan pemain ski lain sebelum pasukan penyelamat tiba.
Dalam kejadian berasingan, dua lagi pemain ski luar trek maut di Albosaggia, sebuah perkampungan di lembah Valtellina, kira-kira 65 kilometer (40 batu) ke timur Bormio, lokasi semua pertandingan ski Alpine lelaki diadakan.
Pihak penyelamat Alpine berkata, mereka masih belum mendapat pengesahan mengenai kemungkinan mangsa keempat di Trentino Alto Adige, susulan laporan media tempatan mengenai seorang lelaki yang cedera dalam runtuhan awal dan disahkan meninggal dunia di hospital.
Kejadian salji tebal di pergunungan Alps sejak kebelakangan ini mencetuskan beberapa runtuhan salji berbahaya.
Awal minggu ini, satu lagi runtuhan salji di wilayah Trentino Alto Adige meragut nyawa dua pemain ski warga Finland.
AINEVA, persatuan risiko salji dan runtuhan Itali yang juga sebahagian daripada Perkhidmatan Amaran Runtuhan Eropah mengeluarkan amaran risiko runtuhan yang ketara bagi hari ini.
Salji baharu bersama angin sederhana membentuk kepingan salji longgar yang boleh runtuh dengan hanya pergerakan daripada seorang peminat sukan musim sejuk, menurut kenyataan AINEVA di laman web rasminya. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






