Home Buletin Semasa HANYA 30 PERATUS PESAKIT DIABETES DI KELANTAN DAPATKAN RAWATAN

HANYA 30 PERATUS PESAKIT DIABETES DI KELANTAN DAPATKAN RAWATAN

181
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TANAH MERAH: Kira-kira 300,000 daripada 1.9 juta penduduk di Kelantan menghidap penyakit diabetes, namun hanya sekitar 30 peratus daripada jumlah itu tampil mendapatkan rawatan fasiliti kesihatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, situasi tersebut amat membimbangkan kerana diabetes yang tidak dirawat boleh menjejaskan kualiti hidup, produktiviti serta kesejahteraan masyarakat.

“Ramai masih memandang ringan penyakit kencing manis sedangkan ia boleh membawa kepada komplikasi serius sekiranya tidak dikawal dengan baik.

“Masyarakat perlu sedar bahawa kencing manis ini bukan sekadar paras gula tinggi, jika tidak dirawat dan dipantau, ia boleh menyebabkan komplikasi besar seperti masalah buah pinggang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach Literasi Kesihatan Diabetes peringkat daerah Tanah Merah di Masjid Mukim Batu 11, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, satu daripada enam rakyat Kelantan disahkan menghidap diabetes dan angka itu masih kekal tinggi sehingga kini.

Dr Mohd Azman berkata, penyakit diabetes terbahagi kepada dua jenis, iaitu diabetes jenis satu dan jenis dua.

“Diabetes jenis satu biasanya berpunca daripada faktor genetik atau kegagalan tubuh menghasilkan insulin, manakala diabetes jenis dua pula banyak dipengaruhi oleh gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan makanan manis berlebihan serta kurang bersenam.

“Apabila gula dalam badan terlalu tinggi dan tidak dikawal, ia akhirnya membawa kepada penyakit diabetes,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian masyarakat masih takut untuk membuat pemeriksaan kesihatan menyebabkan mereka enggan hadir ke fasiliti kesihatan bagi menjalani saringan awal.

”Bagaimanapun JKN Kelantan terus giat menjalankan kempen kesedaran dan program saringan kesihatan di komuniti bagi mengesan penyakit lebih awal serta menggalakkan orang ramai mendapatkan rawatan sebelum komplikasi berlaku,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here