Home Sukan KHELIF DEDAH JALANI RAWATAN HORMON

KHELIF DEDAH JALANI RAWATAN HORMON

PARIS: Juara tinju Olimpik, Imane Khelif mendedahkan dalam satu wawancara bersama akhbar sukan Perancis, L’Equipe bahawa dia pernah menjalani rawatan hormon bagi menurunkan paras testosteron menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, namun menegaskan dirinya bukan seorang “transgender”.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, petinju Algeria berusia 26 tahun itu terpalit dengan kontroversi jantina sepanjang temasya di Paris, meskipun berjaya meraih pingat emas dalam kategori wanita 66 kilogram.

“Saya mempunyai hormon wanita. Orang ramai tidak tahu perkara ini, tetapi saya mengambil rawatan hormon untuk menurunkan paras testosteron bagi tujuan pertandingan,” kata Khelif dalam temu bual yang diterbitkan Rabu lalu.

Khelif turut mengesahkan dia memiliki gen SRY yang terletak pada kromosom Y, yang lazimnya dikaitkan dengan ciri kelelakian.

“Ya, dan itu adalah semula jadi,” katanya sambil menjelaskan bahawa dirinya sentiasa dipantau pasukan perubatan.

“Seorang profesor memantau saya… untuk kejohanan kelayakan Olimpik Paris di Dakar, saya menurunkan paras testosteron sehingga sifar.”

Seperti petinju Taiwan, Lin Yu-ting yang turut memenangi emas di Paris, dia menjadi tumpuan perdebatan jantina yang turut menarik komen Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta penulis Harry Potter, J.K. Rowling.

“Saya menghormati semua orang, dan saya menghormati Trump kerana dia Presiden Amerika Syarikat. Tetapi dia tidak boleh memesongkan kebenaran. Saya bukan wanita trans, saya seorang wanita. Saya dibesarkan sebagai wanita, membesar sebagai wanita, dan penduduk kampung saya sentiasa mengenali saya sebagai wanita,” tegasnya.

Khelif yang menyasarkan untuk beraksi di Olimpik Los Angeles 2028 mengakui perlu mematuhi ujian jantina mandatori yang diperkenalkan World Boxing, badan yang diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), dan menyatakan kesediaannya berbuat demikian.

“Untuk Sukan Olimpik akan datang, jika saya perlu menjalani ujian, saya akan lakukannya. Saya tiada masalah,” katanya.

“Saya sudah pun menjalani ujian ini. Saya menghubungi World Boxing, menghantar rekod perubatan, ujian hormon, semuanya. Tetapi saya belum menerima sebarang maklum balas. Saya tidak bersembunyi dan tidak menolak ujian.”

Menurutnya, keputusan seharusnya ditentukan pakar perubatan dan profesor, sambil menegaskan perbezaan yang dimilikinya adalah semula jadi.

“Kita semua mempunyai genetik dan tahap hormon yang berbeza. Saya bukan transgender. Perbezaan saya adalah semula jadi. Inilah diri saya. Saya tidak melakukan apa-apa untuk mengubah ciptaan alam,” katanya.

Khelif yang belum kembali bertinju sejak Sukan Olimpik Paris, selepas World Boxing menghalangnya menyertai kejohanan di Belanda tahun lalu kerana belum menjalani ujian kromosom baharu, turut memaklumkan dia kini menunggu lesen tinju profesional Perancis.

Katanya, langkah itu adalah perkembangan logik dalam kariernya, namun tidak bermakna dia mengetepikan impian Olimpik.

“Tidak sama sekali. Saya mahu menjadi atlet pertama dalam sejarah sukan Algeria yang berjaya mempertahankan pingat emas Olimpik,” katanya. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here