MANILA: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, penumpang feri MV Trisha Kerstin 3 panik apabila kapal itu mula condong teruk di perairan selatan Filipina, pada tengah malam Isnin lalu, lapor AFP.
Ia menyebabkan mereka berlari ke satu bahagian dalam usaha untuk menjadikan feri itu kembali stabil.
Salah seorang mangsa, Aquino Sajili menghubungi rakan peguamnya dan memberitahu bahawa dia menjangkakan kapal itu akan tenggelam, dan meminta bantuan untuk memaklumkan kejadian kepada Pengawal Pantai Filipina (PCG).
Sepuluh minit selepas itu, kapal berkenaan terus terbalik, menyebabkan penumpang panik .
“Wanita dan kanak-kanak menjerit dan menangis. Terdapat ramai kanak-kanak di situ,” katanya.
Sajili yang juga seorang peguam itu berkata, seorang klien yang ditemaninya untuk ke mahkamah syariah termasuk dalam kalangan mangsa maut.
“Ramai mangsa adalah wanita berusia dan saiz kapal yang besar menyukarkan mangsa berenang ke permukaan,” kata Sajili.
Katanya, tiada seorang kru memberi amaran kepada penumpang ketika kapal mula condong.
Menurutnya, penumpang lain membantu sesama mereka untuk kekal tenang dan mengelak daripada terjun ke laut.
Difahamkan, Sajili berpaut pada bahagian kapal yang masih terapung sebelum berenang menuju rakit keselamatan yang akhirnya terbalik.
Mereka hanyut di laut selama lebih tiga jam sebelum kapal penyelamat tiba kira-kira 3.30 pagi.
Dalam pada itu, Reuters melaporkan feri membawa 344 orang itu dalam perjalanan ke Jolo di wilayah Sulu selepas berlepas dari Zamboanga.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan untuk 10 orang yang masih hilang.
Jurucakap PCG, Kepten Noemie Cayabyab berkata, jumlah penumpang diselamatkan kekal pada 316 orang. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






