Home Sukan RIDHWAN SASAR LIMA TERBAIK KEIRIN ASIA

RIDHWAN SASAR LIMA TERBAIK KEIRIN ASIA

201
0

JOHOR BAHRU: Memetik laporan menerusi Berita Harian kejayaan meraih dua pingat emas dalam acara keirin dan pecut berpasukan pada Sukan SEA Thailand, Disember lalu, membakar semangat pelumba trek Johor, Mohammad Ridhwan Sahrom untuk memperagakan kayuhan lebih mantap pada Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya, Julai dan Ogos depan.

Ridhwan, 26, yang kini berada pada prestasi terbaik, menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik Asia dalam acara keirin.

Katanya, pemberian insentif oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) turut menyuntik motivasi untuk meneruskan kecemerlangan dalam acara yang disertainya sejak 2018, selain bersedia mempertahankan emas yang dimenangi pada Sukan SEA Thailand tahun lalu.

“Terima kasih kepada MSNJ yang sangat mengambil berat terhadap atlet negeri ini. Insya-Allah, untuk Sukan SEA di Malaysia tahun depan, saya akan berusaha kekal dalam skuad dan mengekalkan emas yang dimenangi.

“Semestinya saya mahu kekal dalam skuad bimbingan jurulatih Hasnizam Basri. Beliau banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar yang efektif untuk memperkemaskan kayuhan, terutama dalam acara keirin. Saya turut berharap akan terpilih menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia kelak,” katanya.

Ridhwan menerima insentif berjumlah RM9,000 pada majlis penyertaan dan kemenangan atlet negeri Johor pada Sukan SEA Thailand 2025 di sini, semalam.

Turut menerima insentif tertinggi pemain kriket Muhammad Syahadat Ramli dan pemain sepak takraw Muhammad Noraizat Mohd Nordin, masing-masing membawa pulang RM9,000.

Pada majlis itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM221,500 kepada 91 atlet dan enam jurulatih dari Johor yang mewakili negara serta berjaya meraih 35 pingat keseluruhan – 11 emas, 5 perak dan 19 gangsa.

Insentif itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd Hairi Mad Shah. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here