Home Buletin Semasa TULAR DERA KANAK-KANAK, JKM SIASAT TIGA PUSAT JAGAAN AL-KAUTHAR EDUQIDS

TULAR DERA KANAK-KANAK, JKM SIASAT TIGA PUSAT JAGAAN AL-KAUTHAR EDUQIDS

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan siasatan dan pemeriksaan di tiga pusat jagaan kanak-kanak di bawah label Al-Kauthar Eduqids yang beroperasi di Seksyen 3 dan Kota Kemuning, Shah Alam serta Prima Puchong.

Ia susulan aduan daripada orang awam melalui klip video yang tular di media sosial berhubung dakwaan pengabaian dan penderaan kanak-kanak di pusat jagaan berkenaan.

JKM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, siasatan yang dijalankan pada jam 10 pagi itu mendapati pusat jagaan itu beroperasi menjaga kanak-kanak merangkumi pelbagai kategori iaitu kanak-kanak Taska, Tadika serta perkhidmatan pemulihan atau terapi kepada kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Siasatan ini turut membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor untuk semakan dan tindakan selanjutnya,” jelas kenyataan itu pada Rabu.

Dalam pada itu, JKM juga dapati ketiga-tiga pusat jagaan itu tidak berdaftar sebagai operator Taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, dan pihaknya akan mengenakan tindakan penguatkuasaan dan tindakan ke atas ketiga-tiga pusat berkenaan.

”Keadaan pusat jagaan ini juga tidak memuaskan, tidak kondusif dan tidak memenuhi ciri keselamatan yang sewajarnya.

”Bagi isu melibatkan dakwaan penderaan kanak-kanak, ia telah dilaporkan kepada pihak polis dan sedang disiasat,” jelasnya.

Di samping itu, JKM akan mengadakan pertemuan dengan Al-Kauthar Eduqids bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

JKM sentiasa mengingatkan ibu bapa agar memilih dan menghantar anak ke Taska yang berdaftar kerana ia tertakhluk kepada pematuhan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 termasuk standard minimum keselamatan, kebersihan, kemudahan fizikal serta nisbah pengasuh yang ditetapkan.

”JKM akan terus komited melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang.

”Kerjasama erat antara ibu bapa, komuniti dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tidak dikompromi,” jelas JKM.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here