KUALA LUMPUR: Hasrat pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, untuk terus melangkah jauh di Masters Indonesia tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan kedua, hari ini.
Pemain ranking ke-103 dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan kepada pemain Thailand yang berada di ranking ke-44 dunia, Panitchaphon Teeraratsakul, 21-15, 17-21, 8-21 dalam perlawanan selama 57 minit di Istora Senayan.
Zii Jia bermula positif apabila menampilkan permainan kemas dan agresif untuk memenangi set pertama 21-15.
Set kedua berlangsung sengit dengan bekas pemain nombor dua dunia itu mendahului 12-8 sebelum lawan mengutip empat mata berturut-turut untuk menyamakan kedudukan 12-12.
Zii Jia kembali di hadapan 17-15 dan dilihat berpeluang mencatat kemenangan straight set, namun dikejutkan kebangkitan lawan yang memenangi enam mata berturut-turut untuk menutup set kedua 21-17 dan mengheret aksi ke set penentuan.
Pada set ketiga, Zii Jia dilihat semakin hilang rentak apabila Panitchaphon mendominasi sepenuhnya permainan sebelum menoktahkan kemenangan 21-8.
Semalam, Zii Jia menamatkan penantian selama 10 bulan tanpa kemenangan apabila menewaskan pemain India, HS Prannoy, pada pusingan pertama.
Kejayaan itu menjadi kemenangan sulungnya sejak kali terakhir merasai kejayaan di suku akhir Masters Orleans pada Mac tahun lalu, sekali gus menamatkan kemarau panjang yang membelenggu kerjayanya.
Kemenangan berkenaan cukup bermakna buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu yang bergelut dengan kecederaan buku lali dan belakang musim lalu sehingga memaksanya berehat panjang serta memohon perlindungan ranking.
Zii Jia kembali beraksi musim ini bermula di Terbuka Malaysia diikuti Terbuka India, namun kedua-duanya berakhir dengan penyingkiran di pusingan pertama.
Selepas ini, Zii Jia dijadual beraksi di Masters Thailand dalam misi mendapatkan semula rentak permainan serta melonjakkan kedudukan ranking dunia. – BH Online –
IMedikel TV






