Home Hiburan HELMI GIMMICK JALANI PEMBEDAHAN BUANG BUAH PINGGANG AKIBAT KANSER

HELMI GIMMICK JALANI PEMBEDAHAN BUANG BUAH PINGGANG AKIBAT KANSER

126
0

KUALA LUMPUR: Pengacara dan penghibur serba boleh, Helmi Gimmick, 65, bakal menjalani pembedahan membuang buah pinggang kiri akibat kanser pada Khamis ini.

Memetik laporan Berita Harian, Helmi atau nama sebenarnya Helmi Harun berkata, pembedahan itu perlu dilakukan segera selepas penyakitnya disahkan berada pada tahap kritikal.

Katanya, kanser buah pinggang itu sebenarnya sudah diketahui sejak September tahun lalu selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, namun dia memilih untuk menangguhkan rawatan kerana kekangan jadual seni.

“Sebenarnya saya sudah menjalani pemeriksaan pada awal September tahun lalu. Saya buat pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) dan ujian imbasan sinar X dan doktor pakar mengesahkan saya menghidap kanser buah pinggang.

“Tetapi saya ini degil. Saya ada banyak tawaran kerja yang perlu diselesaikan. Pada fikiran saya, selagi saya boleh bergerak, saya teruskan kerja.

“Itu yang saya buat, saya teruskan kerjaya menyanyi saya,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Helmi berkata, keadaannya bertambah serius apabila dia mengalami kencing berdarah ketika membuat persembahan di acara Malam Legenda Karyawan, Disember lalu.

“Ketika itu darah keluar dari saluran kencing, tetapi saya teruskan juga persembahan. Selepas selesai, saya tidak dapat membuang air kecil.

“Disebabkan keadaan itu, isteri membawa saya ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurut Helmi, hasil pemeriksaan mendapati kansernya semakin kritikal dan memerlukan pembedahan segera, selain rawatan awal bagi menghentikan pendarahan.

“Doktor beritahu keadaan ini sudah kritikal dan bukan sekadar pemeriksaan biasa. Saya perlu dibedah kerana pendarahan berlaku.

“Akhirnya, doktor dari Hospital Tawakal merujuk saya ke Hospital Universiti Putra Malaysia (Hospital Sultan Abdul Aziz Shah).

“Saya dimasukkan ke hospital sejak 29 Disember lalu dan dijadual menjalani pembedahan membuang buah pinggang kiri pada Khamis ini,” katanya.

Selepas pembedahan, Helmi dinasihatkan supaya berehat sekurang-kurangnya tiga bulan dan menghentikan sebarang aktiviti persembahan buat sementara waktu.

Mengakui sukar memperlahankan rentak kerjayanya, bapa kepada empat anak itu berkata, anak-anaknya turut menasihati agar dia mengutamakan kesihatan.

“Mereka minta saya berhenti menjawab panggilan telefon dan memaklumkan kepada semua bahawa saya perlu berehat mengikut arahan doktor,” katanya.

Helmi berkata, dia kini reda dengan ketentuan dan mahu memberikan sepenuh fokus kepada rawatan serta proses pemulihan.

Dalam pada itu, Helmi turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang tampil memberikan sokongan moral, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghulurkan bantuan menerusi kunjungan Setiausaha Politiknya, Datuk Azman Abidin.

Helmi yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang seni berkata, dia masih aktif memenuhi undangan mengacara majlis makan malam sehingga kini.

Selain itu, Helmi juga fasih bertutur dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Indonesia serta sedikit bahasa Perancis.

Sebelum ini, nama Helmi Gimmick pernah popular pada awal era 2000-an dan antara program televisyen yang pernah dihoskannya ialah Famili Ceria di ntv7. Dia juga pernah tampil dengan album solo berjudul Tongkat Ali serta berkhidmat sebagai penyampai radio di Time Highway Radio (THR), kini dikenali sebagai Gegar. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here