Home Sukan KOLO MUANI TEGUH MENYOKONG FRANK

KOLO MUANI TEGUH MENYOKONG FRANK

LONDON: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro penyerang Tottenham Hotspur, Randal Kolo Muani, menegaskan pasukan tetap menyokong sepenuhnya pengurus Thomas Frank yang kini berada di bawah tekanan, sambil menambah “semua orang gembira dengannya.”

Ia adalah tempoh sukar buat Spurs dengan prestasi tidak menentu di bawah Frank, yang menyaksikan mereka menduduki tangga ke-14 pada Krismas.

Namun begitu, kepantasan dan kreativiti Kolo Muani segera membina hubungan rapat dengan penyokong dan awal minggu ini apabila dia kelihatan menghadiri Majlis Krismas One Hotspur Junior di Stadium Tottenham Hotspur.

Kolo Muani berkata: “Ia menyeronokkan dan bagi kanak-kanak, ini adalah detik yang hebat. Ia benar-benar magik untuk Krismas dan semua orang gembira, jadi itu bagus.

“Ya, saya rasa sokongan itu apabila saya turun padang dan sebelum perlawanan. Saya nampak ramai penyokong dan saya gembira. Saya rasa baik,” katanya.

Pemain antarabangsa Perancis itu turut menyatakan sokongan terhadap Frank di tengah-tengah kritikan penyokong.

“Ya, kami ada hubungan yang baik.

“Kami banyak berbincang bersama dan beliau dibantu jurulatih yang bagus, jadi saya gembira dengannya. Keseluruhan pasukan, rakan sepasukan saya, kami percaya kepada pengurus dan semua orang gembira dengannya. Sekarang kami bekerja keras untuk tempoh ini,” kata Kolo Muani.

Tottenham selepas ini akan berdepan pasukan di tangga ke-12, Brentford dan hanya kemenangan mampu untuk mengembalikan keyakinan terhadap tahap keupayaan Frank.

Kolo Muani sedar hanya prestasi baik dan jaringan untuk Tottenham akan membantu dia mengejar impian Piala Dunia.

Dia beraksi untuk Perancis di Qatar dan satu percubaan satu lawan satu di saat genting digagalkan penjaga gol Argentina, Emi Martínez, ketika masa tambahan sebelum kekalahan melalui sepakan penalti di final 2022.

Argentina menjuarai Piala Dunia dan walaupun Kolo Muani menyertai Paris Saint-Germain enam bulan kemudian, kurang masa bermain menyebabkan beliau terkeluar daripada pertimbangan antarabangsa.

Siri penampilan memberangsangkan bersama Spurs membolehkan Kolo Muani dipanggil semula ke kem latihan Perancis bulan lalu, namun kecederaan rahang patah menafikan peluang beliau beraksi di bawah Didier Deschamps sekali lagi. – AGENSI, HMetro –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here