KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian pelakon dan pelawak Yassin Yahya meluahkan rasa syukur dan terharu apabila filem terbaharu lakonannya, Duyung: Legenda Aurora berjaya mencatat kutipan hampir RM300,000 di pawagam seluruh negara.
Yassin menerusi hantarannya di Instagram menyifatkan sambutan positif pada hari pertama tayangan sebagai sesuatu yang tidak disangka-sangka sekali gus menjadi suntikan semangat besar buat dirinya.
“Alhamdulillah, hari pertama Duyung 2 mencecah RM300,000. Terima kasih kepada semua penyokong, khususnya peminat Orix yang sudi datang menonton,” katanya.
Beliau turut mengakui dirinya tersentuh dengan sokongan berterusan diterima termasuk mesej serta maklum balas daripada peminat yang meluahkan rasa rindu terhadap watak ikonik Orix, yang sinonim dengan namanya.
Menurutnya, sokongan berkenaan membawa makna yang amat besar buat dirinya pada fasa kerjaya ketika ini.
“Terus terang, saya benar-benar terharu. Di usia sebegini, tak pernah terlintas masih ada yang mahu menonton dan setia menyokong,” tulisnya.
Kembalinya Yassin sebagai Orix dalam Duyung: Legenda Aurora nyata mencetuskan keterujaan penonton sejak awal khususnya mengenai sisi baharu serta pendekatan skrip yang dibawakan dalam filem terbaharu ini.
Yassin turut berseloroh, “Manalah tahu kalau tercetus idea untuk buat filem Orix sahaja. Kalau anda setuju, tekan komen,” katanya.
Dihasilkan oleh KRU Studios dan 8 Bit Studio dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, filem arahan Prof Datuk Ts Dr A Razak Mohaideen ini menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Maya Karin, Saiful Apek, Yasmin Hani, Anna Jobling, Ayie Floor88 serta Datuk Yusry Abdul Halim.
Sebagai sebuah naskhah komedi mencuit hati, Duyung: Legenda Aurora menggabungkan elemen kekeluargaan, persahabatan dan nilai kebersamaan.
Dengan jalan cerita yang mudah difahami serta dialog santai, filem ini direka sebagai tontonan ringan yang mudah dinikmati tanpa memerlukan penonton berfikir terlalu berat.
Sesuai sebagai pilihan hiburan hujung tahun dan sepanjang musim perayaan, Duyung: Legenda Aurora kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. – BH Online –
IMedikel TV






