Home Luar Negara LELAKI PALESTIN REMPUH, TIKAM 2 WARGA ISRAEL SEHINGGA MATI

LELAKI PALESTIN REMPUH, TIKAM 2 WARGA ISRAEL SEHINGGA MATI

BAITULMAQDIS: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian seorang lelaki Palestin didakwa menyebabkan kematian dua individu dalam kes tikaman dan rempuhan kereta di utara Israel pada Jumaat.

Perbuatan itu mencetuskan tindakan keras ketenteraan terhadap kawasan perkampungan asal penyerang di Tebing Barat yang diduduki termasuk rumah keluarganya dirobohkan.

Serangan itu berlaku sehari selepas anggota simpanan tentera Israel berpakaian awam merempuh seorang lelaki Palestin ketika bersembahyang di tepi jalan di Tebing Barat, wilayah yang menyaksikan peningkatan keganasan sejak perang di Gaza bermula.

“Siasatan awal menunjukkan ini adalah serangan keganasan berperingkat yang bermula di bandar Beit Shean, apabila seorang pejalan kaki dirempuh.

“Selepas itu, seorang wanita muda ditikam… dan suspek akhirnya ditembak berhampiran Persimpangan Maonot di Afula susulan campur tangan seorang orang awam,” kata polis Israel dalam satu kenyataan dan turut memaklumkan, mangsa berusia 68 tahun.

Tambahnya, penyerang kemudian dibawa ke hospital.

Menurut perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom, kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan, manakala seorang remaja lelaki berusia 16 tahun cedera ringan selepas dilanggar sebuah kenderaan.

Tentera Israel memaklumkan penyerang menyusup masuk ke wilayah Israel beberapa hari lalu.

Polis Israel kemudian mengesahkan penyerang berusia 34 tahun itu adalah penduduk Qabatiya dan menggunakan kenderaan milik majikannya untuk merempuh dua individu di Beit Shean sebelum melanggar sebuah kenderaan yang berhenti.

“Dia kemudian keluar dari kereta sambil membawa pisau… dan berjaya menghampiri seorang wanita berusia 18 tahun lalu menikamnya berulang kali,” kata polis, sambil menambah majikan suspek sudah ditahan.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Israel Katz, mengarahkan tentera supaya bertindak tegas terhadap kampung Qabatiya, iaitu tempat asal suspek , bagi mengesan lebih ramai individu yang dikaitkan dengan kegiatan keganasan di lokasi berkenaan.

Tentera Israel kemudian melancarkan operasi di kampung itu, susulan sering berlaku kes keganasan berulang.

Menurut kenyataan tentera Israel, anggotanya menggeledah rumah penyerang dan bersedia untuk merobohkan kediaman mereka.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, melaporkan tentera Israel menahan beberapa lelaki muda dan mengenakan perintah berkurung di Qabatiya.

Sementara itu, kumpulan pejuang Palestin, Hamas, menyifatkan serangan berkenaan sebagai ‘manifestasi kemarahan rakyat yang terkumpul akibat jenayah harian pendudukan Zionis’ terhadap rakyat Palestin.

Serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas tentera Israel membunuh seorang remaja Palestin di kawasan Qabatiya. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here