Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa pengurusan permohonan penggajian tenaga kerja asing bagi sektor perkhidmatan bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini menghampiri had kuota 30,000 bagi tahun ini.
Sehubungan itu, bagi memastikan pengurusan permohonan dilaksanakan secara teratur dan selaras dengan ketetapan kuota yang diluluskan kerajaan, KDN mengumumkan penutupan awal permohonan kuota pekerja asing bagi sektor perkhidmatan KPDN melalui Pusat Sehenti (One Stop Centre – OSC) Pengurusan Pekerja Asing bermula esok.
“Walau bagaimanapun, permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi sektor dan subsektor lain yang dibenarkan masih dibuka sehingga 31 Disember ini, tertakluk kepada ketetapan sedia ada,”menurut kenyataan itu semalam.
KDN menasihatkan semua majikan yang berhasrat untuk menggajikan pekerja asing bagi sektor perkhidmatan bawah seliaan KPDN agar memastikan permohonan dikemukakan sebelum tarikh penutupan yang ditetapkan, bagi mematuhi peraturan dan ketetapan semasa.
Untuk maklumat lanjut, majikan boleh merujuk laman sesawang rasmi KDN dan KPDN, serta mengikuti hebahan rasmi yang dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi kerajaan.
IMedikel TV






