Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan tujuh jajahan di Kelantan kemungkinan akan dilanda banjir bermula 14 hingga 17 Disember ini.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, ramalan banjir dijangka berlaku susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Tujuh jajahan yang dijangka itu adalah kawasan lembangan sungai dan kawasan rendah iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Machang, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
“Di Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah ia melibatkan lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Golok, manakala Machang dan Kota Bharu di lembangan Sungai Kelantan.
“Jajahan Bachok pula melibatkan tiga lembangan sungai iaitu, lembangan Sungai Semerak, lembangan Sungai Kemasin dan lembangan Sungai Gali.
“Pasir Puteh pula di lembangan Sungai Semerak,” menurut PRABN.
Bagaimanapun, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.
IMedikel TV






