Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PAHANG: Kegiatan pengedaran ketum terbongkar apabila anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu dua buah rumah yang disyaki dijadikan tempat pemprosesan dan pengedaran ketum di Felda Ulu Jempol, Jengka, di sini, Khamis lalu.
PGA dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, serbuan menerusi Op Taring Mitra yang dijalankan kira-kira jam 7.30 malam itu menemukan sebanyak 1,066 botol air ketum yang telah diproses dengan anggaran keseluruhan 1,600 liter, disimpan di dalam rumah serta stor di bahagian belakang premis berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pihaknya turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk menyimpan dan memproses ketum, dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM66,000.

Operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan lima lelaki berusia antara 36 hingga 55 tahun yang dipercayai berada di rumah tersebut semasa serbuan dijalankan.
Kesemua barang rampasan dan individu yang ditahan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
IMedikel TV






