KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nourul Depp, percaya setiap anak seni wajar memiliki sumber pendapatan kedua bagi menjamin kelangsungan hidup, terutama apabila usia semakin meningkat dan tidak lagi aktif di pentas hiburan.
Nourul atau nama sebenarnya, Noorulhuda Abdul Wahab, 48, berkata penglibatannya dalam bidang perniagaan serta dunia motivasi sejak beberapa tahun lalu adalah langkah persediaan untuk memastikan dirinya terus berdikari.
“Saya percaya apabila kita berada dalam industri yang kecil, kita perlu ada bisnes atau sumber pendapatan lain. Saya tak mahu apabila usia semakin meningkat, saya terpaksa meminta bantuan atau bergantung kepada orang lain jika jatuh sakit.
“Tiada masalah untuk meminta pertolongan, cuma selagi kita sihat, bertenaga dan mampu berusaha, lebih baik kita mula mengumpul simpanan dari sekarang,” katanya pada sidang media Konsert For You: Nourul di sini, baru-baru ini.
Mengulas perjalanan sebagai pakar motivasi hidup, Nourul berkata, beliau banyak menimba ilmu daripada tokoh motivasi antarabangsa, Tony Robbins, sebelum melangkah serius menganjurkan seminar Firetalk.
“Pada tahun pertama, memang sekadar pulang modal dan pernah juga rugi sedikit.
“Tapi Alhamdulillah, usaha itu membuahkan hasil apabila Firetalk menerima geran daripada Kementerian Pembangunan Wanita pada November lalu.
“Program terakhir berlangsung mulai November dan menghimpunkan 50 peserta wanita, termasuk golongan profesional seperti profesor dan doktor, yang saya bimbing selama enam bulan,” katanya.
Menurutnya, modul yang dibangunkan memberi penekanan kepada pemulihan emosi dan keberanian pascapandemik, selain menyelitkan elemen muzik sebagai terapi.
Mengulas cabaran menjelang konsert, Nourul mengakui aspek masa menjadi halangan terbesar memandangkan komitmen terhadap anak lebih diutamakan berbanding persediaan vokal.
“Cabaran saya sekarang ialah masa, sebab kena jaga anak dan perkara lain.
“Selain itu, rutin harian saya memang bersenam dan menjaga pengambilan nutrisi. Jadi, Insya-Allah tiada masalah lain,” katanya.
Anak warisi bakat
Bercerita mengenai tiga cahaya matanya, Nourul mendedahkan semuanya menunjukkan minat mendalam terhadap muzik dan seni persembahan.
“Sebenarnya, semua suka muzik. Raphael ada lebih sedikit bakat sebab dia boleh main piano sambil menyanyi. Dia dalam dunia dia sendiri dan ada karisma tersendiri.
“Anak lelaki pertama saya, Zachary, suka menyanyi dan menari, manakala Isabella pula lebih cenderung kepada tarian.
“Saya tidak kisah jika mereka mahu menceburi industri ini, asalkan yang utama ialah adab dan pendidikan kerana dari sekolah pun mereka belajar pelbagai kemahiran,” katanya.
Sementara itu, selepas lebih 30 tahun berkarya, konsert berskala besar yang bakal dijayakan nanti membawa makna yang amat mendalam bagi Nourul.
Beliau berkongsi bahawa kembali ke pentas besar sebagai artis solo menimbulkan perasaan yang sangat emosional dan penuh syukur.
“Ini adalah antara impian saya yang lama tertangguh. Akhirnya, saya dapat mempersembahkan sesuatu yang benar-benar mencerminkan diri saya sebagai seorang penyanyi, seorang wanita, dan seorang insan.
“Saya berjanji untuk memberikan sepenuh hati, sepenuh tenaga dan setiap inci jiwa saya kepada penonton kerana merekalah yang menjadikan perjalanan 30 tahun ini sesuatu yang begitu bermakna,” katanya.
Konsert For You: Nourul bakal berlangsung pada 17 April 2026, jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur, menjadi simbol penghargaan terhadap 30 tahun legasi dan perjuangan seninya.
Persembahan turut menampilkan segmen akustik intim berbentuk intimate storytelling khas buat peminat tegar, selain kolaborasi bersama pemuzik profesional tempatan serta tribut visual yang mengimbau perjalanan dan pencapaiannya. – BH Online –
IMedikel TV






