KUALA LUMPUR: Selangor FC dijangka menghadapi satu perlawanan sukar dalam aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) apabila bertemu Lion City Sailors di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam esok.
Memetik laporan Harian Metro, Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, mengakui bahawa momentum pasukannya sering terganggu setiap kali bersaing di pentas ACL2.
“Perlawanan yang sukar. Kerana setiap kali kami mempunyai momentum yang baik, kami pergi ke ACL. Kami tahu bahawa kami tidak berada di tahap itu,” katanya.
Gamel menekankan bahawa prestasi semasa pasukannya masih belum mencapai tahap optimum, namun beliau yakin pemain mampu memberikan saingan sengit.
“Awak lihat permainan kami. Perlawanan terakhir juga adalah terbaik(menentang Penang FC). Kami melakukan yang baik,” katanya.
Kekangan kecederaan menjadi cabaran utama Selangor FC, memaksa Gamel mencari penyelesaian taktikal yang sesuai untuk mengulangi prestasi cemerlang.
“Dengan begitu banyak kecederaan, saya perlu mencari penyelesaian yang tepat untuk menjadikannya berlaku sekali lagi,” katanya lagi, menekankan fokusnya terhadap strategi pasukan.
Pada masa sama, Gamel juga menegaskan bahawa beliau mahu melihat pemain memberikan persembahan maksimum dan mengekalkan semangat juang sepanjang perlawanan.
“Setiap pemain perlu memahami peranan mereka dengan jelas dan bermain sebagai satu pasukan,” katanya.
Selangor FC kini bersiap sedia menghadapi cabaran Lion City Sailors dalam usaha meraih kemenangan pertama di pentas ACL selepas mencatatkan keputusan buruk dengan empat kekalahan dan satu seri sekali gus menutup peluang untuk ke peringkat seterusnya. – HMetro Online –
IMedikel TV






