Home Sukan POCHETTINO ANGGAP PERINGKAT KUMPULAN PIALA DUNIA ‘IBARAT FINAL’

POCHETTINO ANGGAP PERINGKAT KUMPULAN PIALA DUNIA ‘IBARAT FINAL’

WASHINGTON: Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Mauricio Pochettino menganggap Amerika Syarikat tidak memandang mudah saingan peringkat kumpulan Piala Dunia tahun hadapan.

Jurulatih Amerika Syarikat itu hadir di Washington menyaksikan pasukannya diundi dalam Kumpulan D yang menyaksikan mereka bakal menentang Paraguay, Australia dan satu lagi pasukan dari kelayakan Eropah yang masih belum ditentukan.

Skuad kendalian Pochettino bakal turun di Piala Dunia dengan tonik kemenangan baru-baru ini ke atas dua lawan pusingan pertama di mana mereka berjaya menewaskan Paraguay 2-1 bulan lalu dan Australia dengan keputusan sama pada Oktober.

Namun ketika beberapa penganalisis televisyen Amerika Syarikat (AS) seperti Alexi Lalas yakin bahawa pasukan itu mampu mara sehingga ke separuh akhir, begitupun Pochettino menegaskan tiada ruang untuk mereka berasa selesa.

Sebaliknya, beliau mahu memastikan pemainnya berfikir bahawa setiap perlawanan peringkat kumpulan adalah ibarat perlawanan akhir Piala Dunia, bermula dengan aksi pembukaan menentang Paraguay di Los Angeles pada 12 Jun.

“Kalau anda Argentina dan mungkin hari ini pasukan terbaik serta juara bertahan Piala Dunia, mungkin anda boleh memikirkan tentang apa selepas peringkat kumpulan,” kata Pochettino.

“Tetapi dengan AS, perlawanan pertama kami adalah final Piala Dunia. Dan perlawanan kedua juga perlu menjadi final Piala Dunia. Itulah mentaliti, ‘mindset’ yang kami mahu bina,” katanya.

Pochettino menambah bahawa kemenangan ke atas Paraguay dan Australia sebelum ini tidak akan memberi makna besar apabila kejohanan bermula.

“Masih ada enam bulan, banyak perkara boleh berubah. Ia satu rujukan yang baik untuk kami, tetapi juga untuk mereka. Saya tidak fikir ia akan menjadi satu kelebihan atau kekurangan buat mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Pochettino mendedahkan beliau mendapat inspirasi daripada filem tahun 2004, Miracle, yang mengisahkan kejutan pasukan hoki ais AS merangkul emas Sukan Olimpik 1980 selepas menewaskan gergasi Kesatuan Soviet walaupun dibarisi pemain kurang ternama.

Pochettino berkata beliau mahu membentuk skuad Piala Dunia berdasarkan falsafah jurulatih hoki AS 1980, Herb Brooks, yang dalam filem itu menyebut,”Kita tidak perlukan pemain terbaik, kita perlukan pemain yang tepat.”

“Itu yang kami mahu terapkan kepada pasukan kebangsaan ini pemain yang tepat untuk membina sebuah pasukan yang kuat dan mampu berjuang dengan mana-mana pasukan di dunia,” kata Pochettino. – AFP, HMetro Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here