MEDAN: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, sekurang-kurangnya 867 orang disahkan maut dan 521 masih hilang selepas banjir kilat serta tanah runtuh memusnahkan tiga wilayah di Sumatera dengan operasi mencari atau menyelamat masih diteruskan.
Memetik Jakarta Globe, Agensi Mitigasi Bencana Negara (BNPB) berkata, jumlah korban dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat memperluas operasi dan mengesahkan data dari kawasan terpencil.
Difahamkan, lebih 4,200 penduduk dilaporkan cedera daripada luka ringan hingga parah.
Menurut data daripada pusat arahan kecemasan peringkat wilayah, Aceh mencatat jumlah pemindah paling ramai, diikuti Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
Secara keseluruhan, 849,133 orang dipindahkan di ketiga-tiga wilayah terbabit.
Dalam pada itu, Aceh melaporkan 345 kematian dan 174 hilang, manakala Sumatera Utara merekodkan 312 maut dan 133 hilang.
Di Sumatera Barat pula, pihak berkuasa mengesahkan 210 mangsa terkorban dan 214 masih belum ditemui.
Bagaimanapun, di Daerah Agam di Sumatera Barat merekodkan korban tertinggi dengan 156 kematian.
Selain itu, angkat berkenaan diikuti 124 maut di Aceh Utara dan 89 di Tapanuli Tengah.
BNPB mengesahkan, sebanyak 51 daerah dan bandar terjejas dengan kerosakan infrastruktur meluas.
Antara kemusnahan yang direkodkan termasuk 121,000 rumah rosak, 1,100 kemudahan awam, 509 sekolah, 338 rumah ibadat serta 405 jambatan yang mengalami kerosakan sederhana hingga teruk.
Jambatan runtuh dan jalan terhalang turut menjejaskan kelancaran operasi menyelamat serta penghantaran bantuan.
BNPB turut memberi amaran jumlah mangsa hilang dan terkorban dijangka meningkat apabila air surut dan kawasan yang sebelum ini terputus akses dapat ditembusi. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






