HAT YAI: Banjir yang melanda rumah Amphorn Kaeophengkro di Hat Yai, Thailand, pada 22 November lalu, membuatkan keluarganya pada masa itu tiada masa untuk melarikan diri.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, sebaliknya, keluarganya yang terdiri daripada lapan orang bergegas ke tingkat dua apabila paras air meningkat dan menghabiskan 48 jam di atas meja, bingkai tingkap dan mesin basuh.
“Kami tidak memikirkan apa-apa selain daripada untuk terus hidup.
“Kami hanya mahu memastikan semua orang di sekeliling kami selamat,” kata wanita berusia 44 tahun itu yang menggunakan cahaya lilin, ketika keluarganya mula membersihkan rumah selepas air surut, semalam.
Banjir yang melanda sembilan wilayah selatan Thailand meragut 162 nyawa, 126 daripadanya di Songkhla, wilayah dengan Hat Yai sebagai ibu kotanya.
Hat Yai menerima 335 milimeter (mm) hujan pada 21 November lalu. Ia jumlah hujan tertinggi dalam sehari dalam tempoh 300 tahun.
Difahamkan, penduduk tidak menerima amaran jelas daripada pihak berkuasa tempatan apabila paras air meningkat, menyebabkan ramai terperangkap di dalam rumah.
Dalam pada itu, beberapa perabot di tingkat dua rumah Amphorn terapung, menyebabkan keluarganya hanya menemukan beberapa tempat kering dan stabil untuk duduk.
“Kadang-kadang kami duduk di tepi tingkap dan terpaksa mengangkat kaki supaya tidak terendam dalam air,” katanya sambil memegang lilin di dalam rumah yang gelap.
Semasa terkandas, Amphorn berkata, keluarganya kadang-kadang menjerit kepada jiran dan cuba berkomunikasi bagi mendapatkan bantuan.
Sementara itu, masih belum jelas bila bekalan elektrik akan dipulihkan di banyak kawasan Hat Yai dan kawasan sekitarnya yang terjejas banjir.
Kerajaan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan pentadbiran bandar dikritik atas cara mereka mengendalikan banjir yang mengakibatkan lebih 16,000 orang dipindahkan ke pusat perlindungan kecemasan.
Sejak bencana itu, kerajaan nasional menyingkirkan ketua daerah Hat Yai dan memindahkan ketua polisnya.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






